Amri, Bunyamin Digantung Tiga Perlawanan Dan Denda RM1,500

Diterbitkan: Rabu, 8 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Dua pemain Selangor iaitu kapten pasukan Mohd Amri Yahyah dan pemain tengah Mohd Bunyamin Umar dikenakan penggantungan sebanyak tiga perlawanan selain didenda sebanyak RM1,500 oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Mereka didapati bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin FAM di bawah Kod 2.4 Tataetika FAM 2012 kerana mengasari penyerang Kelantan dari Libya, Mohammed Ghaddar Mahmoud pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu pada 29 Jun lepas yang menyaksikan pasukan tuan rumah mencatatkan kemenangan tipis 1-0.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan Datuk Taufik Abdul Razak berkata hukuman tersebut dijatuhkan selepas mereka meneliti video rakaman perlawanan tersebut selain mendapatkan keterangan daripada beberapa saksi termasuk pengadil perlawanan Mohd Jefferi Zolkifli.

"Hukuman tersebut akan berjalan bermula pada aksi Piala Malaysia (22 Ogos ini) dan hukuman tersebut tidak boleh dirayu kerana ia adalah hukumanan minimum yang dikenakan oleh pihak jawatankuasa.

"Kita bagaimanapun mempunyai hak untuk mengenakan hukuman berat kepada kedua-dua pemain berdasarkan bidang kuasa yang telah diperuntukkan kepada kita," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tersebut selama hampir dua jam di Wisma FAM di sini, Selasa.

Pada perlawanan tersebut, Mohd Bunyamin didakwa telah menumbuk Mohamad Ghaddar manakala Mohd Amri dikatakan telah memijak belakang pemain tersebut.

Mohd Amri yang hadir pada perbicaraan tersebut turut diiringi oleh jurulatih Selangor Irfan Bakti, penolong jurulatih P. Maniam serta salah seorang pemain mereka manakala Mohd Bunyamin tidak dapat hadir kerana sedang berada di Vienna, Austria untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.

Ditanya mengenai nasib Mohammed Ghaddar yang dikatakan turut sama terlibat dengan insiden tersebut, Taufik berkata pihaknya telah menghantar surat pertuduhan kepada pemain tersebut dan kes berkenaan dijangka akan dibicarakan pada 10 Ogos ini.

"Bagi kita, perlu ada waktu bertenang sebelum kita membicarakan kes Mohamad Ghaddar dan beliau akan didakwa di atas kesalahan sama (iaitu di bawah Kod 2.4 Tataetika FAM 2012).

"Kita akan memanggil pemain tersebut pada 10 Ogos ini memandangkan beliau telah menghantar borang B- (borang orang tidak mengaku kesalahan) kepada kita dan berharap beliau dapat membantu penerangan kepada jawatankuasa," katanya.

Sementara itu, Taufik berkata jawatankuasa tersebut akan menghantar surat pertuduhan kepada tiga pegawai Persatuan Bolasepak Pahang yang mempertikaikan keputusan pengadil pada perlawanan kalah mati Liga Super ketika Pahang menentang Kedah di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 19 Julai lepas.

Tiga pegawai tersebut ialah pengurus pasukan Pahang Datuk Che Nasir Salleh, penolong pengurus Zainal Abidin Hassan dan ahli fisioterapi pasukan tersebut.

"Kita akan menghantar surat pertuduhan kepada mereka hari ini dan kita harap kes mereka dapat diputuskan sebelum bermulanya aksi Piala Malaysia.

"Walaupun kita tidak mendapat laporan rasmi daripada pengadil perlawanan, namun berdasarkan pemerhatian saya yang turut berada di stadium ketika itu, mereka telah melanggar kesalahan di bawah 3.1 Kod Tatatertib FAM 2011," katanya.

Mereka dikatakan telah mempertikaikan keputusan pengadil yang melayangkan dua kad merah kepada dua pemain pasukan tersebut yang melakukan kekasaran ke atas pemain Kedah.

Pahang mencatatkan kemenangan dramatik 3-2 menerusi sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada masa permainan penuh, untuk mengisi slot terakhir ke Liga Super musim depan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan