Skuad Penyu Hadapi Laluan Getir Buru Kemenangan Kempen Piala Malaysia

Diterbitkan: Sabtu, 4 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Terengganu tidak gentar dalam misi memburu kemenangan kempen Piala Malaysia yang akan bermula 22 Ogos ini walaupun menghadapi laluan getir selepas diundi dalam kumpulan B bersama juara Liga Super dan Liga Perdana.

Dalam undian semalam, bekas juara Piala Malaysia 2001 dan naib juara musim lepas itu diundi bersama juara Liga Super musim ini, Kelantan, Kedah dan juara Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pengurus pasukan Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh berkata pihaknya optimis anak buah kendalian Peter James Butler mampu mengatasi cabaran tersebut namun enggan meletakkan sebarang sasaran, sebelum melihat prestasi sebenar pemain skuad 'Peteh Ganu Peteh' itu.

"Memang kita tidak dapat menafikan semua pasukan yang berjaya memasuki pertandingan Piala Malaysia ini adalah pasukan-pasukan terbaik dan handal-handal belaka. Tetapi itu semua bukanlah alasan sebelum mencuba.

"Dalam erti kata sebenarnya, tidak ada istilah pasukan berada dalam kumpulan maut...hanya aksi hebat yang ditunjukkan saja menentukan tiket mara ke saingan seterusnya," katanya kepada Bernama ketika mengulas mengenai saingan Piala Malaysia di sini, Sabtu.

Che Mat yang juga Pengerusi Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata apa yang penting bagi Terengganu ialah pemain-pemain perlu berusaha untuk mencapai matlamat itu.

Katanya, Terengganu tidak mahu memikirkan soal pasukan mana yang bakal ditemui dalam kumpulan sebaliknya, memberi fokus untuk mara ke saingan seterusnya.

Beliau berkata Terengganu memutuskan untuk tidak bergantung kepada pemain pinjaman, sebaliknya akan menggunakan pemain terbaik sedia ada untuk menghadapi saingan Piala Malaysia. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan