Skuad Bola Sepak Wanita Perlu Lebih Pendedahan

Diterbitkan: Isnin, 30 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak wanita kebangsaan perlu didedahkan kepada lebih banyak perlawanan kompetitif sekiranya ingin bersaing dengan pasukan hebat termasuk dari rantau Asean.

Merujuk aksi dalam beberapa perlawanan persahabatan di Thailand selama 10 hari berakhir 15 Julai lalu, ketua jurulatih skuad bola sepak wanita negara, Jacob Joseph berkata wujud beberapa kelemahan ketara dalam skuad 28 pemain itu termasuk teknik asas seperti mengelecek dan hantaran pendek.

"Hampir semua pemain yang saya ada sekarang adalah pemain futsal, maka sukar untuk mereka mengadaptasi teknik asas bola sepak yang jauh berbeza dengan bidang mereka sebelum ini iaitu futsal," katanya, Isnin.

Joseph berkata, kelemahan ketara yang dikesan beliau sepanjang aksi persahabatan di Thailand wujud di posisi penyerang dan penjaga gol.

"Melainkan dua posisi itu, saya puas hati dengan bahagian tengah dan pertahanan yang dilihat agak matang dalam mengekang asakan lawan selain teknik kawalan bola yang boleh dikatakan sedikit meningkat berbanding beberapa perlawanan sebelum ini," katanya.

Sepanjang di Thailand, skuad itu mencatat dua kemenangan iaitu mengatasi Chonburi Sport Club A dengan keputusan 2-1 dan Siam Business Administration College FC, 3-0, serta seri 1-1 bertemu Chonburi Sport Club B.

Mereka bagaimanapun dibelasah 1-5 oleh Institute of Physical Education serta tunduk 0-2 kepada Dhurakij Pundit University FC pada dua aksi terakhir persahabatan.

Mengulas mengenai persediaan menghadapi Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) Wanita yang dijadual berlangsung di Vietnam pertengahan September ini, Joseph berkata beliau yakin skuad itu mampu mara lebih jauh sekiranya diundi bertemu pasukan kurang ternama.

"Andai kata kita diundi bertemu pasukan hebat seperti Thailand dan Myanmar, peluang kita untuk mara lebih jauh mungkin agak sukar kerana berdasarkan sejarah pertemuan dengan pasukan-pasukan ini, kita pernah dibelasah dengan jaringan besar," katanya.

Skuad itu yang menjalani latihan pusat di Teluk Intan, Perak sejak Mac lepas akan bertolak ke Vietnam awal September untuk menyertai kejohanan bola sepak tahunan itu.

Pencapaian terbaik negara pada kejohanan itu tempat ketiga pada 2007 di Myanmar.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan