Kekal Rentak, Tampil Lebih Yakin- Rajagobal

Diterbitkan: Ahad, 29 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih bola sepak kebangsaan, Datuk K.Rajagobal mahu skuadnya mengekalkan rentak permainan menjelang perlawanan persahabatan bertemu Manchester City, Isnin ini.

Selepas tewas 1-2 pada perlawanan persahabatan menentang Arsenal Selasa lalu, Rajagobal mahu pemain-pemainnya bangkit mempamerkan aksi lebih baik.

"Selepas bertemu Arsenal, pasukan kita akan beraksi dengan Man City. Kedua-dua pasukan ini mempunyai kelebihan berbeza-beza.

"Jadi apa yang saya ingin lihat, pasukan kita boleh mempamerkan aksi yang lebih baik ketika bertemu Arsenal sebelum ini.

"Saya berpuas hati dengan corak permainan mereka dan mahu semua pemain lebih yakin ketika bertemu Man City Isnin ini.

"Di sini saya juga mahu mereka belajar sesuatu kerana Arsenal dan Man City mempunyai pemain-pemain terbaik di kelab mahupun di negara masing-masing," katanya selepas sidang media ketibaan Manchester City ke Malaysia, Sabtu.

Menurut Rajagobal, biarpun sedar Man City ada pasukan hebat, malah juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, beliau tidak merasakan itu ada penghalang bagi pemain-pemain takut bertemu mereka.

"Sudah jelas pada perlawanan sebelum ini, pemain-pemain kita telah melakukan yang terbaik.

"Walaupun mereka mempunyai perbezaan fizikal dan tahap kecergasan lebih baik, kita akan gunakan pengalaman ini untuk aksi-aksi bertemu dengan pasukan Asia Tenggara nanti," katanya.

Sementara itu, pengendali Man City, Roberto Mancini berkata, pasukan Malaysia adalah skuad yang kuat dan mampu memberi saingan yang baik.

"Kami akan cuba mempamerkan aksi terbaik untuk peminat-peminat di sini," katanya.

Selain itu Mancini berkata, buat masa sekarang dia cuba memantapkan lagi pasukannya menjelang musim baru EPL nanti.

"Kami ada ramai pemain bagus, dan saya hanya memerlukan beberapa pemain baru untuk beberapa posisi bagi menguatkan pasukan. Ini adalah penting dan kami perlukan masa.

"Tahun lalu kami telah banyak belajar sepanjang liga berlangsung. Daripada situ, saya cuba untuk membaiki apa sahaja yang perlu agar kami menjadi lebih baik," katanya menjawab pertanyaan media mengenai khabar angin untuk mendapatkan beberapa pemain baru.

Perlawanan Malaysia-Man City bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 30 julai, 9.45 malam.

Manakala sesi latihan pada 29 Julai (Ahad), 530 petang.

Tiket-tiket boleh didapati di semua cawangan Ticketpro dengan harga RM58, RM68, RM108 dan VIP tiket berharga RM388.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan