Liga Super: Sathia Intai Pemain Baru Musim Depan

Diterbitkan: Rabu, 25 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pemain-pemain ATM meraikan kejayaan selepas dinobat juara Liga Perdana sekaligus layak ke Liga Super musim depan.
Pemain-pemain ATM meraikan kejayaan selepas dinobat juara Liga Perdana sekaligus layak ke Liga Super musim depan.

PETALING JAYA: Sasaran untuk membawa pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke kedudukan paling teratas dalam siri Liga Perdana akhirnya tercapai selepas dinobatkan sebagai juara musim ini.

Kejayaan skuad berstatus kelab ini dicatat selepas kemenangan besar ke atas MP Muar (8-1) pada edisi terakhir perlawanan liga baru-baru ini.

Skuad kendalian bekas jurulatih kebangsaan, B.Sathianathan ini membuktikan sentuhannya masih berbisa setelah mengambil masa satu musim sahaja untuk menjadi juara sekaligus membawa pasukan beraksi ke Liga Super musim depan.

"Acara bola sepak boleh diibaratkan seperti perlumbaan Formula Satu. Kalau jenteranya sempurna tetapi pemandunya tidak bagus, tidak akan berjaya pasukan itu.

"Jadi apa yang saya rancangkan sepanjang musim ini sudah tercapai dan matlamat pasukan juga sudah terlaksana," jelasnya kepada mStar Online.

Pasukan yang dibarisi ramai pemain bintang dan bekas pemain kebangsaan itu bakal menyertai 11 lagi pasukan lain dalam Liga Super musim depan, dan sudah pasti sesuatu sasaran baru yang sudah dibayangkan.

"Berdasarkan keadaan semua pemain, mereka sudah serasi antara satu sama lain malah prestasi juga semakin baik.

"Pun begitu untuk saingan baru musim depan nanti, saya turut mengintai beberapa pemain lain bagi memantapkan lagi skuad ATM ini.

"Saya yakin saingan musim depan lebih sengit dan saya mengharapkan skuad ATM mampu menamatkan saingan dalam aksi Liga Super dalam kelompok tiga teratas.

"Manakala dalam saingan Piala Malaysia, saya sasarkan skuad ini mampu melangkah kaki hingga ke suku akhir," jelasnya mengenai percaturan musim depan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan