Mancini Mahu Tevez Kekal Di Man City

Diterbitkan: Rabu, 18 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mancini (kiri) bersama Tevez bergambar bersama trofi kejuaraan liga yang dimenangi musim lalu.
Mancini (kiri) bersama Tevez bergambar bersama trofi kejuaraan liga yang dimenangi musim lalu.

PENGURUS Manchester City, Roberto Mancini gembira dengan perubahan Carlos Tevez semenjak kembali bersama pasukan menjalani latihan pra musim.

Masa depan pemain antarabangsa Argentina itu menjadi spekulasi baru, namun Mancini mendakwa dia tidak ada masalah untuk bersama Tevez.

City mengalami saat-saat runcing musim lalu bersama Tevez,28, namun kembali tenang selepas pemain itu kembali membarisi skuad pada aksi-aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

"Selepas Januari lalu, masalah dengan Carlos sudah selesai. Dia kembali kepada pasukan dan sikapnya juga sudah berubah.

"Dia bermain banyak perlawanan dan turut menjaringkan gol penting sekali gus turut membantu kami menjulang trofi kejuaraan.

"Sekarang dia turut menjalani latihan pra musim dengan lancar bersama pemain-pemain lain," jelas Mancini kepada City TV.

Selain itu, ada juga khabar angin yang timbul apabila beberapa ahli kelab City mahu Sergio Aguero, Edin Dzeko dan Mario Balotelli meninggalkan kelab tersebut.

Namun bagi Mancini yang turut dikaitkan dengan penyerang Arsenal, Robin van Persie berkata: "Saya fikir spekulasi adalah perkara normal. Kami mempunyai empat penyerang hebat dan semua pasukan di Eropah mahukan penyerang seperti mereka."

Pengurus dari Itali berusia 47 tahun itu, kini menjadi tumpuan selepas kejayaan bergelar juara liga musim lalu sekali gus menamatkan kemarau 44 tahun kelab tanpa trofi liga.

Mancini mula mengambil alih kelab ini dari Mark Hughes pada Disember 2009 dan kini terus komited di Stadium Etihad sehingga 2017.

"Kami telah menjalankan tugas dengan baik sejak dua tahun kebelakangan ini dan saya harap kami akan melakukan lebih baik dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Namun kami tidak boleh berehat biarpun telah menjuarai liga musim lalu.

"Ia lebih sukar untuk memenangi gelaran selepas kamu merupakan juara bertahan.

"Kami mula berlatih dari bawah, dan perlu melupakan gelaran juara itu.

"Setiap pasukan mahu menewaskan kami, dan apa yang penting skuad perlu bekerja lebih keras," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan