Piala Yamaha ASEAN: Laluan Sukar Buat Pasukan Malaysia Kuning

Diterbitkan: Jumaat, 13 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Jurulatih pasukan Malaysia Biru, Mark Holland Kiri) dan Malaysia Kuning, Mohamad Haris bersalam di hadapan trofi kejohanan.
Jurulatih pasukan Malaysia Biru, Mark Holland Kiri) dan Malaysia Kuning, Mohamad Haris bersalam di hadapan trofi kejohanan.

PETALING JAYA: Pasukan tuan rumah, Malaysia Kuning bakal mengharungi laluan sukar pada Kejohanan Bola Sepak Piala Yamaha ASEAN Bawah 13 Tahun Kali Ke-4 bermula 13-15 Julai ini selepas diundi berada bersama pasukan juara bertahan, Thailand pada majlis undian kumpulan yang diadakan pada Khamis.

Malaysia Kuning diundi berada dalam Kumpulan B bersama Thailand dan Indonesia.

Ketua jurulatih Malaysia Kuning, Mohamad Haris Lajid berkata, pasukannya akur dan terima keputusan undian ini dengan penuh positif biarpun sedar Indonesia merupakan bekas juara 2010 dan Thailand adalah pasukan juara tahun lalu.

"Undian kumpulan agak sukar berbanding kumpulan A, namun saya yakin semua pemain sudah bersedia.

"Berdasarkan prestasi semasa, skuad berada dalam keadaan terbaik dan mereka telah bergabung menjalani latihan bersama sejak Januari lalu.

"Pemain-pemain terdiri daripada pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (BBJS) dan mereka juga adalah skuad Bawah 14 tahun yang menyertai Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang kini berada di kedudukan ketiga teratas," katanya kepada media selepas majlis undian kumpulan.

Mohamad Haris berkata, selain persediaan intensif dan penyertaan mereka dalam liga tempatan, skuadnya juga turut mengadakan perlawanan persahabatan.

"Terbaru mereka berjaya menumpaskan pasukan terbaik B-13 Tahun, Kelab Balkatta (Perth) dengan keputusan 4-0.

"Saya yakin kemenangan itu mampu memberi lebih semangat untuk beraksi pada kejohanan ini.

"Secara peribadinya, saya menyasarkan skuad Malaysia Kuning mampu melangkah kaki ke peringkat separuh akhir," tambahnya.

Sementara itu, selain Malaysia Kuning, satu lagu pasukan muda negara, Malaysia Biru diletakkan dalam Kumpulan A bersama Vietnam dan India.

Jurulatih pasukan tersebut, Matthew Mark Holland menyasarkan pasukannya mampu memenangi setiap perlawanan peringkat kumpulan.

"Kami telah menjalani latihan pemilihan sejak April lalu dan 18 pemain yang terpilih ini adalah yang terbaik.

"Selain latihan praktikal, saya juga turut memberi latihan teori kepada pemain-pemain.

"Segalanya telah diberi, dan selepas ini terpulang kepada semua pemain untuk mencorakkan permainan," katanya yang telah mengadakan lapan perlawanan persahabatan tanpa kalah.

Selain itu, pasukan Vietnam merupakan juara pertama kejohanan pada tahun 2008 selepas menewaskan pasukan Malaysia, 4-0.

Pada tahun 2009, kejohanan ini tidak diadakan sebaliknya diteruskan pada tahun 2010 di Indonesia dan 2011 di Thailand.

Menurut peraturan kejohanan, negara yang bergelar tuan rumah diberi kelonggaran menghantar dua pasukan untuk bertanding dan Malaysia diberi kepercayaan untuk menjadi penganjur pada tahun ini.

Semua perlawanan akan berlangsung di Stadium MPPJ, Kelana Jaya.

Kedudukan kumpulan:

Kumpulan A: Malaysia Biru, Vietnam dan India

Kumpulan B: Malaysia Kuning, Thailand dan Indonesia

Jadual perlawanan:

13 Julai ( Jumaat)

1.Malaysia Biru lwn Vietnam

2.Malaysia Kuning lwn Thailand

Pemenang perlawanan 1 bertemu India

Pemenang perlawanan 2 bertemu Indonesia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan