Kedah Tertekan Untuk Kekal Dalam Liga Super Musim Depan

Diterbitkan: Ahad, 1 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Kedah dihimpit tekanan untuk mengelak daripada tercicir ke Liga Perdana musim depan dengan hanya tinggal empat perlawanan sebelum Liga Super melabuhkan tirainya musim ini.

Persembahan tidak konsisten sepanjang musim ini menyebabkan ia menjadi pasukan kedua tercorot liga dengan 24 mata di belakang Kuala Lumpur.

Penolong jurulatih Kedah, Radzi Md Din berkata, pasukan itu menghadapi satu pengalaman yang cukup perit sekiranya tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

"Kita cuba sedaya upaya mungkin untuk memperbaiki kedudukan kerana itu adalah hakikat yang perlu diterima oleh pemain," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Katanya, beliau dan jurulatih Wan Jamak Wan Hassan menagih kesungguhan daripada pemain untuk berjuang dan turut menerapkan kepada pemain satu nilai iaitu tidak mudah mengalah dalam mengharungi baki empat perlawanan.

Radzi akan memikul tanggungjawab sebagai jurulatih Kedah dalam tempoh dua minggu kerana Wan Jamak terpaksa bercuti atas urusan keluarga dan faktor kesihatan dan akan kembali semua bersama pasukan itu jika segala urusannya selesai.

Radzi berkata, beliau akan melakukan percaturan dan rombakan terhadap pasukannya kerana terdapat beberapa tonggak utama seperti penyerang Vedran Gerc yang mengalami kecederaan.

Katanya, beliau akan cuba memantapkan prestasi pemain dan cuba memperbaiki kelemahan bahagian jentera serangan serta di bahagian pertahanan yang sering bocor walaupun dikawal ketat.

Sementara itu, ketua pasukan Badrol Bakhtiar berkata, beliau menggalas tanggungjawab besar bagi memastikan mereka mencapai kemenangan dalam baki empat perlawanan dan terus kekal dalam saingan Liga Super musim depan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: LIga Perdana , Liga Super , Radzi Md Din

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan