Kelayakan Piala AFC B-22: Skuad Negara Mampu Galas Cabaran

Diterbitkan: Jumaat, 22 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yakin skuad bimbingan Ong Kim Swee yang akan menghadapi pusingan kelayakan Piala AFC Bawah 22 tahun, mampu memberikan aksi membanggakan negara.

Baginda yakin skuad berkenaan sedia sepenuhnya bagi menggalas cabaran pada pusingan kelayakan itu yang akan membuka tirai Sabtu.

"Saya perhatikan pemain sudah cukup mantap dan berpengalaman dan kita yakin mereka akan memberikan saingan yang mantap.

"Ini adalah satu pertandingan yang penting untuk kita meneruskan perjuangan kita dalam pertandingan ini," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Pada perlawanan pembukaan esok, skuad negara akan berhadapan dengan Korea Selatan.

"Ia merupakan satu perlawanan mencabar dan saya meminta pasukan negara lebih berhati-hati," kata baginda.

Selain itu, mengulas mengenai pelantikan bekas pemain pertahanan kebangsaan Serbegeth Singh sebagai pengarah bola sepak kelab divisyen satu England, Blackburn Rovers, mulai musim depan, Tengku Abdullah berkata ia merupakan penghormatan kepada negara.

"Saya harap dia akan memberi sumbangan yang baik kepada pasukan berkenaan dan sudah tentu satu penghormatan kepada seorang anak Malaysia dan harap pasukan dia akan berjaya," katanya.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan