Rusia Tersingkir, Greece Masuk Suku Akhir - Bola Sepak | mStar

Rusia Tersingkir, Greece Masuk Suku Akhir

Diterbitkan: Ahad, 17 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GIORGOS KARAGOUNIS telah melakukan sesuatu yang luar biasa awal pagi tadi apabila jaringan kemenangannya 1-0 ke atas Rusia telah membawa pasukan Greece ke pusingan suku akhir Euro 2012.

Rusia yang memulakan kempen Euro 2012 dengan penuh bergaya dan beraksi bagaikan juara dengan menumpaskan Republik Czech 4-1 pada 8 Jun lalu kini mendapati mereka berada di tempat ketiga dalam Kumpulan A sekaligus berkongsi mata dengan Greece.

Tetapi perbezaan gol telah melayakkan Greece mengatasi Rusia walaupun mereka berkongsi empat mata dengan satu kemenangan, satu seri dan satu kalah.

Sebaliknya Republik Czech yang menjuarai Kumpulan A dengan mengutip enam mata melalui dua kemenangan dan satu kekalahan.

Tuan rumah Poland yang tewas 1-0 di tangan Republik Czech awal pagi semalam menduduki tempat terakhir.

Kumpulan A menjadi kumpulan pertama yang menamatkan persaingan di peringkat kumpulan daripada empat kumpulan dalam kejuaraan ini.

Awal pagi ini, Portugal dan Belanda akan berentap untuk menentukan nasib kumpulan B manakala Denmark akan bertemu Jerman pada waktu yang sama iaitu 2.45 pagi.

Keempat-empat pasukan itu masih berpeluang untuk melayakkan diri ke pusingan suku akhir.

Masing-masing perlu menang untuk memastikan dua tempat dari kumpulan ini ke suku akhir.

Jerman kini mendahului Kumpulan B dengan enam mata manakala Portugal tiga, Denmark juga 3 dan Belanda masih belum mengutip sebarang mata tetapi secara matematiknya masih mampu layak sekiranya mereka menang besar ke atas Portugal yang pada hakikatnya sangat sukar.

Tags / Kata Kunci: Giorgos Karagounis , Euro 2012 , Kumpulan A
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan