Redknapp Luahkan Isi Hati Dalam Tulisannya Kepada The Sun UK

Diterbitkan: Jumaat, 15 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Harry Redknapp. Foto AFP
Harry Redknapp. Foto AFP

HARRY REDKNAPP yang ditamatkan kontrak sebagai pengurus Tottenham Hotspurs pada Khamis menceritakan bagaimana beliau tidak pernah sedikit pun mahu meninggalkan kelab itu tetapi pada masa yang sama menegaskan 'hidup perlu diteruskan' walau apa sekali pun yang berlaku.

"Apabila saya berjalan masuk ke padang latihan Tottenham untuk pertama kalinya empat tahun yang lalu semua orang kelihatan takut kepada bayang-bayang mereka sendiri.

"Tetapi saya buat kelab itu tersenyum semula sehingga akhirnya ia menjadi tempat yang paling seronok untuk bekerja. Kami telah melakukan transformasi dalam segala aspek," katanya dalam tulisan yang disiarkan oleh akhbar The Sun UK pada Jumaat.

Tetapi kata Redknapp, seandainya kelab itu merasakan mereka harus melakukan hala tuju baru, maka itu terpulanglah kepada mereka.

Namun begitu, tegas Redknapp, beliau telah melakukan satu tugas yang cemerlang di Tottenham.

"Saya, kesemua staf dan pemain telah membawa kelab ini ke suku akhir Liga Juara-Juara, menewaskan kelab ternama seperti AC Milan dan Inter Milan sepanjang perjalanan ke peringkat itu.

"Dan musim lalu, di sebalik segala halangan dan cabaran, kami berjaya menduduki tempat keempat — hanya satu mata di belakang Arsenal dan saya percaya dengan sedikit nasib, kita mungkin boleh berada di atas mereka.

"Saya tidak tahu apa lagi yang perlu saya lakukan. Tidak ada orang yang lebih setia kepada Spurs daripada saya," tegas Redknapp.

Redknapp juga berkata jika isu mengenai ura-ura yang beliau akan dilantik sebagai pengurus England menjadi punca kenapa kontraknya ditamatkan, beliau sebenarnya tidak pernah pun berkata mahukan jawatan itu.

"Tidak pernah sekali pun saya katakan yang saya mahu jawatan itu...yang saya sebut ialah mana-mana pengurus berbangsa Inggeris pun akan mendapati sukar untuk menolak tawaran itu jika ditawarkan," ujarnya.

Pada masa yang sama kata Redknapp, beliau juga menegaskan bahawa beliau bernasib baik kerana diberi peluang untuk mengurus kelab seperti Tottenham.

"Saya tidak pernah berkata yang saya mahu meninggalkan Tottenham untuk mengurus England," katanya.

Redknapp juga menjelaskan, apabila beliau dipanggil untuk mengadap Pengerusi Tottenham Daniel Levy, beliau tidak tahu apa yang harus dijangkakan.

Beliau diberitahu oleh Levy yang pemilik kelab mahu melakukan perubahan.

"Saya ingin terus kekal tetapi inilah fakta kehidupan. Kehidupan mesti diteruskan," ujarnya sambil menegaskan yang pertemuan itu berakhir pada jam 4.15 pagi Khamis.

Kata Redknapp beliau hanya sempat tidur selama dua jam sebelum bangun semula dan sedikit pun tidak berasa hati, atau menyesal atau marah.

Sebaliknya kata Redknapp, jika di bandingkan nasibnya dengan orang lain, maka beliau tidak perlu berasa kecewa.

"Ramai lagi manusia yang bangun setiap pagi setiap hari dan perlu berhadapan dengan pelbagai masalah dan tekanan. Ini adalah bolasepak..." katanya.

Menurut Redknapp, Tottenham adalah satu pasukan yang mampu memenangi kejuaraan liga dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Setiap hari kata Redknapp, beliau menyaksikan pemain-pemain berbakat seperti Gareth Bale, Luka Modric, Rafael van der Vaart, Emmanuel Adebayor dan Scott Parker berlatih.

Katanya lagi, Younes Kaboul kini adalah pemain pertahanan terbaik dalam Liga Perdana Inggeris.

Akhir kata, Redknapp mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pemainnya dan mengingatkan mereka, tidak ada benda yang kekal selama-lamanya di dunia ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan