Ketua Pasukan Manchester City Lawat Malaysia 6 Jun

Diterbitkan: Jumaat, 1 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua pasukan Manchester City, Vincent Kompany akan membuat kunjungan pertama ke Malaysia Rabu ini untuk melancarkan jualan tiket perlawanan juara Liga Premier Inggeris itu menentang pasukan pilihan Malaysia.

Pemain pertahanan Manchester City itu yang memimpin pasukannya buat pertama kalinya sejak 44 tahun lalu menjuarai liga premier, akan menjadi pemain tumpuan dalam perlawanan berkenaan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 30 Julai depan.

Penganjur perlawanan, ProEvents, dalam satu kenyataannya hari ini berkata Kompany akan melancarkan jualan tiket perlawanan itu di Wisma FAM di Kelana Jaya pada 6 Jun ini.

Pemain berasal dari Belgium itu berharap dapat menemui para peminatnya semasa kunjungannya ke Malaysia nanti.

"Saya telah mendengar banyak cerita menarik tentang negara ini daripada rakan-rakan sepasukan yang pernah datang ke negara ini.

"Mereka sentiasa bercerita tentang sambutan hangat yang diberikan oleh rakyat Malaysia dan saya memandang ke hadapan untuk berjumpa dengan para peminat semasa berada di sini nanti," kata Kompany menerusi kenyataan tersebut.

Pemain yang berusia 26 tahun itu merupakan salah seorang pemain pertahanan yang terkemuka di dunia sejak beliau menyertai pasukan Manchester City yang berjersi biru itu empat tahun lalu. Sejak dari itu, beliau telah bermain sebanyak 127 kali untuk kelab berkenaan.

Beliau merupakan sebahagian daripada anggota penting pasukannya yang menjuarai Piala FA tahun lepas dan menjadi johan dalam Liga Premier Inggeris pada musim lalu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan