Presiden FAM Terima Anugerah Tertinggi FIFA - Order Of Merit

Diterbitkan: Jumaat, 25 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menerima anugerah berprestij FIFA - 'Order of Merit' - pada hari pembukaan Kongres ke-62 badan bola sepak antarabangsa itu di Budapest, Hungary, Khamis. Sultan Ahmad Shah, yang juga Presiden Persekutuan Bolasepak Asean (AFF), menerima anugerah tersebut dari Presiden FIFA, Sepp Blatter.

Tahun lalu, baginda menerima Anugerah Berlian daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) atas sumbangannya kepada pembangunan sukan itu di Asia.

Sultan Ahmad Shah, bekas presiden AFC itu dari 1994 hingga 2002, memainkan peranan berpengaruh dalam memberi visi baru kepada bola sepak Asia, kata AFC seperti dipetik dalam laman sesawangnya, www.the-afc.com.

Kepimpinan Sultan Ahmad Shah dalam AFC selama lapan tahun menyaksikan sukan di benua Asia bergerak dalam hala tuju yang betul dan mencapai tahap baharu.

AFC juga menyatakan usaha dedikasi Sultan Ahmad Shah juga melihat pusingan akhir Kejohanan Piala Dunia FIFA berjaya dianjurkan bersama buat julung kali oleh Jepun dan Korea Selatan pada 2002. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan