Kenny Dalglish Ke Boston Bincang Masa Depan Dengan Pemilik

Diterbitkan: Selasa, 15 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PENGURUS Liverpool, Kenny Dalglish telah berlepas ke Boston, Amerika Syarikat untuk berbincang mengenai masa depannya dengan John W Henry dan Tom Werner iaitu pemilik dan pemegang saham utama kelab berkenaan.

Kedudukan Dalglish masih terumbang ambing walaupun beliau berjaya membawa pulang satu piala iaitu Piala Carling ke Anfield dan pada masa yang sama menjadi naib juara Piala FA selepas tewas di tangan Chelsea 1-2 pada 5 Mei lalu.

Namun yang menjadi perhatian besar sekarang ialah apakah kegagalannya untuk meletakkan Liverpool di tangga enam teratas liga akan dilihat sebagai satu kegagalan oleh pengurusan kelab.

Ini kerana walaupun kelab itu telah membelanjakan sekitar £120 juta ke atas pembelian pemain sepanjang musim lalu untuk mengukuhkan kedudukan tetapi mereka masih gagal melayakkan diri ke kejohanan Liga Juara-Juara.

Kedudukan mereka musim ini iaitu di tangga ke lapan adalah yang terburuk sejak musim 1993-94.

Pengurus Liverpool itu mahu isu masa depannya diselesaikan sebelum beliau mula bercuti Rabu ini.

Liverpool telahpun memecat Pengarah Bolasepak, Damien Comolli April baru-baru ini setelah kedua-dua pemilik kelab berkenaan tidak berpuashati dengan prestasi kewangan kelab khususnya berkaitan dengan bayaran perpindahan yang tidak setimpal dengan pelaburan.

Selain Comolli, turut dipecat dari pengurusan Liverpool ialah Ketua Sains Perubatan Kelab, Dr Peter Brukner dan Ketua Komunikasi Ian Cotton.

Tentang kedudukan pasukan pula, adalah difahamkan bahawa Xavi Valero, bekas jurulatih penjaga gol ketika di bawah Rafael Benítez dahulu sedang menimbang tawaran untuk kembali semula.

Tetapi penyerang Belanda yang kini tidak mendapat perhatian Dalglish iaitu Dirk Kuyt dilaporkan enggan berpindah ke kelab lamanya Feyenoord.

"Jika saya kembali ke Belanda, saya terpaksa menerima potongan gaji sehingga 80% daripada apa yang saya perolehi sekarang di Liverpool," ujar Kuyt.

Tambah Kuyt lagi, dia boleh menerima hakikat itu jika sudah berusia 35 atau 36 tahun tetapi tidak pada usia sekarang iaitu 31 tahun.

"Saya baru berusia 31 tahun dan sepatutnya berada di kemuncak kerjaya saya. Saya percaya masih boleh bermain secara konsisten dua atau tiga musim lagi bersama kelab yang boleh bersaing di peringkat Eropah," katanya.

Namun begitu, di sebalik semua kenyataan itu, masa depan Kuyt bersama Liverpool tetap samar-samar.

Begitu juga dengan Maxi Rodríguez, yang mendapati peluangnya untuk bermain semakin mengecil di bawah bimbingan Dalglish.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan