Peter Butler Jurulatih Baru Terengganu

Diterbitkan: Isnin, 14 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Teka-teki siapa ketua jurulatih bola sepak Terengganu yang baru akhirnya terjawab pada Isnin apabila Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan Peter Butler, akan mengambil alih tugas itu daripada Mat Zan Mat Aris, mulai 1 Jun ini.

Ahmad berkata, bekas jurulatih Kelantan dan Persiba Balikpapan, Indonesia itu akan menggantikan Mat Zan yang akan menamatkan kontrak bersama Skuad Penyu pada tarikh tersebut.

"Saya berharap pasukan Terengganu akan berubah dan lebih cemerlang di bawah bimbingan jurulatih import itu," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang peringkat negeri Terengganu, di sini, Isnin.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah.

Sebelum ini, Mat Zan yang dilantik sebagai ketua jurulatih Terengganu bagi menggantikan Irfan Bakti musim ini, diarahkan bercuti rehat selama dua minggu selepas juara Piala FA 2011 itu tewas kepada Sime Darby pada aksi separuh akhir piala berkenaan.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, antara faktor yang dikenal pasti menyebabkan prestasi Terengganu merosot sejak akhir-akhir ini ialah kerana pasukan itu terlibat dengan banyak kejohanan termasuk Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Sehubungan itu, beliau berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat mengkaji semula jadual pertandingan dalam liga tempatan supaya pasukan yang terlibat pada kejohanan berkenaan dapat memberikan aksi terbaik sekaligus dapat menaikkan imej negara.

Sementara itu, Yang DiPertua Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata, pihaknya akan membayar pampasan yang sewajarnya kepada Mat Zan berikutan penamatan kontraknya itu.

Che Mat yang juga pengurus pasukan Terengganu berkata, kontrak Butler bersama skuad itu ialah sehingga November 2013 dan beliau akan mula melatih pasukan itu pada Isnin bagi menghadapi Sarawak di sini, malam Selasa.

"Butler dipilih kerana beliau pernah berkhidmat di negara ini selain beliau juga memahami bahasa Melayu bagi memudahkannya berkomunikasi dengan pemain," katanya bahawa PBSNT sebelum ini, menerima empat permohonan termasuk dari Korea Selatan untuk menjadi ketua jurulatih Skuad Penyu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan