Di Matteo Sedar Dia Tak Akan Dilantik Sebagai Pengurus Tetap Walaupun Memenangi Piala Eropah

Diterbitkan: Khamis, 10 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Roberto Di Matteo
Roberto Di Matteo

ROBERTO DI MATTEO kini mula menerima realiti bahawa kontrak beliau sebagai pengurus Chelsea tidak akan melepasi musim ini walaupun telah melaksanakan tugas yang boleh disifatkan sebagai ajaib sejak mengambil alih tugas melatih kelab itu daripada Andre Villas-Boas Mac lalu.

Menurut akhbar The Sun UK, Di Matteo membuat rumusan ini apabila permintaannya untuk berbincang mengenai pelan perancangan latihan musim depan mendapat sambutan dingin daripada pihak pengurusan kelab itu.

Ini sekaligus memberi indikasi bahawa pemilik kelab, Roman Abramovich masih terus memburu seorang pengurus yang ada nama dan wibawa untuk musim depan.

Malah Di Matteo dikatakan sudah membuat rumusan bahawa memenangi Piala Juara-Juara Eropah 19 Mei ini (menentang Bayern Munich) tidak akan mengubah nasibnya bersama Chelsea.

Di Matteo telah pun membawa pulang Piala FA iaitu yang keempat dalam tempoh lapan tahun untuk kelab berkenaan malah mencatat sejarah sebagai pengurus Chelsea yang pertama memenangi piala itu sebagai pemain dan juga pengurus.

Beliau memenangi piala tertua dalam sejarah kejohanan bolasepak dunia itu bersama Chelsea pada 1997 menentang Middlesbrough malah turut menjaringkan gol kemenangan.

Kini beliau telah memenanginya sebagai pengurus serta mencatat sejarah tetapi belum cukup untuk menyakinkan pihak pengurusan mengekalkannya sebagai pengurus tetap kelab.

Abramovich masih tidak berputus asa untuk mendapatkan khidmat bekas pengurus Barcelona, Pep Guardiola dengan menawarkan gaji lumayan malah turut mensasarkan pengurus Perancis, Laurent Blanc serta bekas pengurus England, Fabio Capello sebagai pengurus musim depannya.

Sesiapa sahaja yang bakal mengisi kerusi tersebut musim depan akan mencatat sejarah sebagai pengurus Chelsea yang ketujuh dalam tempoh lapan musim sejak jutawan Rusia itu mengambilalih kelab berkenaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan