Rajagobal Lega, Hazwan Ledak Tiga Gol

Diterbitkan: Ahad, 29 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Ketua jurulatih bola sepak negara, Datuk K.Rajagobal pastinya menarik nafas lega seketika selepas pemain-pemainnya berjaya menewaskan pasukan Sri Lanka 6-0 pada aksi perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, Sabtu.

Aksi hambar 20 minit pertama memberi sedikit tekanan kepada skuad negara dengan serangan yang dilakukan oleh pasukan Sri Lanka, namun Wan Zack Haikal berjaya memecah kebuntuan selepas menjaringkan dua gol cantik pada minit ke-25 dan 26'.

Skuad Harimau Malaya diketuai oleh pemain tengah, Safiq Rahim ini turut dibantu oleh penyerang berbisa negara, Safee Sali, K Gurusamy, Bunyamin Umar, Amar Rohidan, S Kunanlan, Asraruddin Putra Omar, Aidil Zafuan Radzak, Ahmad Shakir Md Ali,Fadhli Shas serta penjaga gol, Farizal Marlias.

Kemenangan sulung bagi peringkat antarabangsa ini menjadi titik tolak permulaan bagi Rajagobal dalam persiapan mempertahankan Piala Suzuki AFF November ini. Ia juga dianggap aksi antarabangsa kelas A kedua Harimau Malaya tahun ini selepas seri dengan Filipina 1-1 di Manila Februari lalu.

Beberapa tonggak utama negara seperti Khairul Fahmi Che Mat, Norshahrul Idlan Talaha, Muslim Ahmad dan Ashaari Shamsuddin tidak diturunkan kerana mereka sedang beraksi dengan Piala AFC.

Selepas menerima pelbagai kritikan mengenai ranking skuad negara yang kini berada di tangga ke-156 dunia, Rajagobal tidak cepat melatah dan yakin ranking itu akan berubah tidak lama lagi dan sebab itu jugalah perlawanan malam ini dianggap penting bagi membuktikan skuad negara masih berada di landasan yang betul.

Sementara itu, pada babak kedua perlawanan pemain muda berusia 20 tahun, Ahmad Hazwan Bakri menambah gol ketiga negara hasil hantaran kemas Safiq pada minit ke-72.

Ahmad Hazwan sekali lagi menambah jaringan gol Harimau Malaya pada minit ke-82 manakala pemain kelahiran Pahang, Azamuddin Akil turut menjaringkan gol kelima negara (m-84).

Pasukan Sri Lanka yang kini berada di kedudukan 181 dunia gagal menyekat serangan skuad Rajagobal apabila gol terakhir negara melalui hatrik Ahmad Hazwan minit ke-90.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan