Ahmad Said Minta Penyokong Bola Sepak Terengganu Bersabar - Bola Sepak | mStar

Ahmad Said Minta Penyokong Bola Sepak Terengganu Bersabar

Diterbitkan: Selasa, 24 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Peminat dan penyokong bola sepak Terengganu diminta bersabar dan tidak bertindak melulu ketika usaha sedang dijalankan bagi mengembalikan prestasi pasukan negeri itu yang dilihat kurang memberangsangkan kebelakangan ini.

Rayuan dibuat oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang mengharapkan sokongan dan kerjasama peminat dan penyokong Terengganu agar keadaan tidak menjadi bertambah rumit.

"Saya minta peminat bola sepak Terengganu bersabar sementara waktu. Saya hanya boleh menasihatkan pihak berkenaan agar memperbaiki mutu pasukan," katanya di sini Selasa.

Satu perjumpaan antara beliau dan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) serta jurulatih akan diadakan bagi membincangkan perkara tersebut.

Sekumpulan peminat dan penyokong bola sepak Terengganu dikatakan telah menyerang kediaman pengurus pasukan Datuk Che Mat Jusoh setelah Terengganu tewas kepada kelab Sime Darby 2-1 dalam saingan separuh akhir pertama Piala FA Sabtu lalu.

Ahmad berkata tindakan yang tidak bertanggungjawab tersebut tidak akan menyelesaikan keadaan malah memalukan arena bola sepak negeri itu.

Kemerosotan turut dilihat berlaku pada sebuah lagi pasukan dari Terengganu ialah kelab T-Team. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan