Legenda Liverpool 'Tawan' Bernama

Diterbitkan: Isnin, 23 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: 'You'll Never Walk Alone', lagu pasukan Kelab Bolasepak Liverpool, bergema begitu kuat ketika 11 bekas bintang kelab tersohor dunia itu berarak ke bilik berita Bernama di sini bagi meraikan salah seorang wartawan agensi berita nasional itu pada Isnin.

Mereka tiba bagi memberi sanjungan kepada wartawan Azlee Nor Mahmud dari Perkhidmatan Berita Ekonomi yang muncul pemenang pertama peraduan Peminat Facebook Terbaik Liverpool FC Standard Chartered Malaysia.

Pasukan Liverpool Masters yang terdiri daripada pengurus Phil Neal dan pemain Robbie Fowler, Steve McManaman, Patrick Berger, Vladimir Smicer, Stephane Henchoz, Rob Jones, Paul Jones, Steve Harkness, John Barnes dan Bjorn Tore Kvarme diberi sambutan hangat oleh peminat kelab itu yang bertugas.

Semalam, pasukan yang diterajui oleh Fowler menang kejohanan futsal EPL Masters 2012 apabila menumpaskan musuh tradisi Manchester United dengan penalti 5-4 selepas terikat 4-4 selepas masa penuh perlawanan.

Kesemua pemain tersebut menandatangani jersi rasmi Liverpool sebelum Ketua Hal Ehwal Korporat Standard Chartered Bank bagi Malaysia, Norliza Kamaruddin menyerahkannya kepada Azlee. Ia bagaikan mimpi mustahil menjadi kenyataan bagi pemuda berusia 32 tahun itu, yang seperti rakyat Malaysia lain, adalah peminat setia 'The Reds' sejak lebih 20 tahun.

Sebaik tiba di Bernama, bekas bintang kelab itu disambut oleh Pengurus Besar Datuk Hasnul Hassan, Ketua Pengarang Datuk Yong Soo Heong dan lebih 100 petugas yang antara kalangan mereka membawa anak kecil masing-masing.

Barnes, yang beraksi sebanyak 314 kali untuk Liverpool dari 1987 hingga 1997, dan menyarung jersi England dari 1983 hinga 1995, merupakan pemain paling popular dengan pandai berjenaka dan personaliti mesranya.

Apabila beliau melihat kehadiran kanak-kanak berpakaian sekolah, beliau mengusik dengan bertanya "Kenapa tidak berada di sekolah hari ini? Sekolah adalah penting bagi anda."

Norliza juga kemudian menyampaikan sebuah bola dengan autograf ditandatangani oleh pemain Kelab Liverpool sesi 2011-2012 kepada Hasnul.

Pemain 'Masters' itu kemudian melawat Jabatan Pengarang Bernama dan singgah seketika di Perkhidmatan Berita Ekonomi bagi menandatangani autograf atas baju-T atau apa juga yang dapat menjadi tanda kenangan oleh peminat serta bergambar dengan bintang-bintang pasukan itu.

Azlee memukau Standard Chartered Malaysia dan bekas bintang kelab itu dengan slogan berbunyi: "I have been graced by the presence of football gods in the form of Liverpool Football Club. A class that transcends time." (Saya diserikan dengan kehadiran tuhan-tuhan bola sepak dalam bentuk Kelab Bolasepak Liverpool. Sebuah kelas yang menjangkaui masa).

"Pada 19 April, saya menerima panggilan dari wakil Standard Chatered menyatakan saya menang hadiah pertama. Ketika beliau memperjelaskan kepada saya, saya tidak dapat mengawal kegembiraan lalu menjerit dengan teruja," kata Azlee.

Bank tersebut juga memberi dua tiket VVIP dan 50 tiket biasa kepada Azlee bagi perlawanan Piala Masters yang mana beliau memberikannya kepada kawan, ahli keluarga dan rakan sekerja.

Azlee berkata: "Saya dapat bertemu dengan idola saya..ia sangat realiti. Mimpi menjadi kenyataan. Terima kasih Standard Malaysia dan Kelab Bolasepak Liverpool atas peluang ini yang tidak dapat dilupakan. Ini akan sentiasa menjadi kenangan buat selamanya," katanya.

Slogan beliau diiringi dengan pesanan ringkas akan dipos dalam 'liveblog Liverpool' dalam masa terdekat di www.nesn.com/liverpool-fc/.

Berikutan kunjungan itu, Azlee juga mendapat tenaga untuk terus menyokong Liverpool apabila pasukan itu menentang Chelseas pada final Piala FA England, 5 Mei ini.

Beliau juga turut berharap Liverpool dapat mengembalikan semula zaman kegemilangan mereka pada Liga Perdana Inggeris Barcalys musim 2012-2013.

Sementara itu, bekas ketua pasukan Liverpool, Phil Neal, yang membantu pasukan itu menjuarai Piala Eropah sebanyak empat kali (1977, 1978, 1981, 1984), berkata pertemuan dengan Chelsea ada hikmah di sebaliknya sejak Liverpool mempunyai pencapaian baik ketika menentang pasukan dari Stamford Bridge itu.

"Keputusan sentiasa berpihak kepada kami apabila menentang Chelsea tetapi bagi mengalahkan mereka, jentera penyerang perlu lebih tajam," katanya. -BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan