Annuar Digantung 30 Bulan Daripada Aktiviti Bola Sepak Negeri, Nasional

Diterbitkan: Rabu, 4 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa digantung 30 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak di peringkat nasional dan negeri oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pengerusi jawatankuasa tersebut, Datuk Taufik Abdul Razak berkata hukuman tersebut berkuatkuasa hari ini, dan Annuar tidak dibenarkan terlibat dalam sebarang aktiviti badan induk bola sepak negara, serta dalam aktiviti Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) di mana beliau adalah Presiden.

Hukuman itu diputuskan selepas jawatankuasa mendapati Annuar bersalah membuat kenyataan akhbar berbau negatif mengenai skuad bola sepak negara yang melanggar Artikel 88, Statut FAM edisi 2010-2014 pada 12 Februari lepas, katanya kepada pemberita selepas inkuiri kes Annuar di Wisma FAM, di sini, Rabu.

Mengikut peraturan FAM hanya Presiden dan Setiausaha Agungnya sahaja yang boleh memberi komen berkenaan skuad kebangsaan.

Taufik berkata keputusan itu dibuat setelah jawatankuasa tersebut mendengar pembelaan daripada Annuar serta melihat rakaman video kenyataan Annuar yang dibuat oleh sebuah stesen televisen swasta.

"Setelah kita meneliti kesalahan beliau, berdasarkan artikel tersebut, selain mengguna pakai perkara yang termaktub dalam Perlembagaan FAM 4.5.8 (I) dan 4.5.8 (III), maka jawatankuasa sebulat suara mendapati beliau bersalah dan dikenakan hukuman gantung selama dua tahun setengah (30 bulan)," katanya.

Annuar juga didakwa melanggar titah Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah semasa mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Feb lepas yang mahu hal-hal FAM tidak disebarkan kepada media, dan perlu dibawa berbincang dengan jawatankuasa eksekutif FAM.

Taufik berkata Annuar tidak dibenarkan membuat rayuan terhadap penggantungan tersebut memandangkan ia adalah hukuman minimum yang dikenakan oleh jawatankuasa berkenaan.

"Kita mendapati hukuman sedemikian wajar dikenakan ke atas beliau (Annuar) kerana ini bukan kali pertama beliau menghadap Jawatankuasa Tatatertib FAM," katanya.

Taufik bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kesalahan pertama yang dilakukan oleh Annuar.

Sebelum itu, Annuar yang ditemui pemberita selepas inkuiri itu, berkata beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai hukuman yang dikenakan kepadanya kerana badan induk bola sepak negara itu telah mengeluarkan arahan kepada beliau agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media.

"Saya telah mendengar keputusaan daripada jawatankuasa disiplin FAM namun tidak sempat untuk mendengar hukuman kerana terpaksa bergegas ke Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Baharu bagi mengikuti perlawanan pasukan Kelantan bertemu pasukan AREMA (Indonesia) pada saingan Piala AFC malam ini," katanya.

Annuar berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada FAM untuk menilai prestasinya sebagai Timbalan Presiden FAM selama ini.

"Saya meminta maaf kerana tidak memberi komen lanjut kepada media mengenai apa yang berlaku kerana perlu mendapat kebenaran bertulis daripada kongres FAM yang hanya bersidang dua atau tiga kali setahun," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada penyokongnya yang memberi sokongan padu selain tidak melanggar peraturan sepanjang perhimpunan aman, Rabu

Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata perhimpunan yang dihadiri kira-kira 200 penyokong Annuar Musa di hadapan Wisma FAM hari ini tidak melibatkan tangkapan mahupun kejadian yang tidak diingini berlaku.

Kira-kira 150 anggota polis berkawal di Wisma FAM sejak 1.30 tengah hari sehingga 7 malam. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan