FAS Dinasihat Tegur Dan Kawal Penyokong

Diterbitkan: Jumaat, 30 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Isu segelintir penyokong bola sepak Singapura yang melemparkan penghinaan berunsur perkauman terhadap pemain import Terengganu, Francis Forkey Doe amat mengecewakan kepimpinan tertinggi negeri itu.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said melahirkan rasa kurang senang dengan sikap penyokong itu yang bertindak sedemikian ketika menyaksikan perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singapura, Selasa lepas.

Beliau menyifatkan ia merupakan satu tindakan yang tidak melambangkan semangat kesukanan dan meminta Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menegur tindakan penyokong-penyokong pasukan bola sepak negara itu agar tidak berkelakuan kurang ajar dan tidak mengulangi sikap yang sama pada masa depan.

"Saya hairan mengapa nak babitkan warna kulit, hitam atau putih? Saya rasa cacian yang dibuat itu hanya mahu memberi tekanan kepada pemain sahaja namun akibatnya boleh menyebabkan perbalahan ramai pihak.

"Yang susahnya adalah persatuan kerana terpaksa bertanggungjawab ke atas tindakan mereka itu dan saya harap FAS dapat tegur sikap penyokong mereka," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Dalam insiden ketika pertemuan bola sepak di Singapura, pemain kelahiran Liberia itu dicaci dengan gelaran 'Monkey' dan 'Black' yang kemudian dibalas dengan isyarat lucah oleh pemain import berkenaan sehingga menimbulkan kemarahan penyokong-penyokong tersebut.

Pada pertemuan di tempat lawan, Terengganu dan Lions XII seri tanpa jaringan bagaimanapun skuad penyu menang dengan agregat 1-0 ke atas kelab dari Singapura itu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Sebelum ini, Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh menyelar tindakan penyokong tersebut apabila menyifatkan tindakan mereka sebagai keterlaluan dan memalukan.

Bagaimanapun katanya, PBSNT tidak bercadang untuk mengambil sebarang tindakan terhadap FAS berkenaan isu tersebut kerana ujar beliau adalah tidak wajar sekiranya persatuan dipersalahkan atas tindakan penyokong.

Namun, beliau menyerahkan tindakan seterusnya kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam isu berkenaan sama ada mahu mengambil tindakan ataupun sebaliknya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan