T-Team Fokus Liga Super Selepas Gagal Ke Separuh Akhir Piala FA

Diterbitkan: Rabu, 28 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Setelah gagal menempah tiket separuh akhir Piala FA malam tadi, T-Team kini beralih arah dengan berazam memberikan fokus terhadap saingan Liga Super untuk mengakhiri lima pasukan teratas carta liga musim ini.

Skuad Penyu muda terpaksa berputih mata apabila tewas kepada Kedah dengan agregat 1-2 dalam perlawanan timbal balik suku akhir kedua malam tadi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Sebelum ini kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan pada suku akhir pertama Sabtu lepas.

Dengan kemenangan Kedah malam tadi, skuad Kenari akan bertemu Kelantan yang mudah menjinakkan pasukan kelab dari Liga FAM, SPA FC dengan agregat 5-0 dalam saingan separuh akhir bermula 21 April.

Jurulatihnya Yunus Alif berkata kegagalan pasukan T-Team mengukir kejutan di laman sendiri sangat mengecewakan dan dilihat mempamerkan persembahan buruk dan hambar bertemu lawan.

"Saya terpaksa terima hakikat kekalahan anak didik saya dengan hati terbuka.

"Misi kami tidak akan terhenti dan akan terus berjuang dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia," katanya kepada pemberita, Rabu.

Yunus berkata kelemahan paling ketara pasukan T-Team malam tadi ialah di bahagian tengah yang gagal menyokong dan membantu barisan hadapan memberikan lorongan bola yang baik.

T-Team kini menduduki tangga keempat dengan 19 mata dalam carta Liga Super di belakang 'abangnya' Terengganu yang berkelebihan satu mata manakala Kelantan terus mengungguli peneraju liga dan Lions XII dari Singapura di tempat kedua.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan