Terengganu Laung Amaran Mahu Tumbangkan Kitchee FC Di Laman Sendiri Esok

Diterbitkan: Isnin, 19 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Terengganu melaungkan keyakinan dan amaran mampu mengatasi cabaran pasukan kelab dari Hong Kong, Kitchee FC dalam saingan Piala Konfederasi Asia (AFC) berdasarkan beberapa faktor memihak kepada mereka menjelang perlawanan, Selasa.

Perlawanan itu akan bermula 4.45 petang bertempat di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Jurulatihnya, Mat Zan Mat Aris berkata beberapa faktor seperti keadaan cuaca panas di laman sendiri mampu membantu skuad Penyu meraih mata penuh seterusnya menghuni pendahulu kumpulan F Piala AFC tersebut.

"Selain itu, saya telah mempunyai beberapa taktikal dan 'team plan' walaupun kita hanya tahu secara terhad mengenai corak permainan Kitchee buat masa ini," katanya kepada pemberita ketika sidang media Piala AFC Terengganu menentang wakil Hong Kong itu di sini Isnin.

Turut hadir ketua jurulatih Kitchee FC, Josep Gombau dan ketua pasukannya Chu Siu Kei serta ketua pasukan Terengganu, Mohd Muslim Ahmad.

Terengganu diundi dalam kumpulan F bersama Kitchee FC serta dua lagi pasukan dari kelab Vietnam, Song Lam Nghe An dan Tampines Rovers (Singapura).

Terdahulu pada perlawanan pertama, Terengganu telah menewaskan Song Lam 1-0 sementara Kitchee FC menundukkan Tampines Rovers dengan keputusan 3-1.

Mat Zan berkata Terengganu akan menghuni tangga teratas sekiranya anak buah mampu mengalahkan pasukan itu namun terpaksa berwaspada ekoran pasukan lawan mungkin telah menyaksikan dan mengkaji corak permainan skuad Peteh Ganu Peteh ketika menentang Sabah dalam Liga Super Sabtu lepas.

Bagaimanapun Mat Zan berjanji akan merubah corak permainan dan mempunyai formula tersendiri bagi memerangkap pasukan lawan.

Bekas jurulatih Pos Malaysia itu berkata Mohd Muslim Ahmad akan menggalas cabaran ini selaku ketua pasukan menggantikan Marzuki Yusof yang masih belum pulih ekoran menjalani pembedahan lutut awal tahun ini.

Katanya Mohd Muslim yang juga merupakan pemain pasukan skuad Olimpik negara diberikan kepercayaan memandangkan potensinya yang tinggi walaupun beliau masih muda dalam arena bola sepak.

"Apapun saya yakin Muslim dapat memainkan peranannya dengan baik dan sekaligus membantu Terengganu mengatasi pasukan pelawat esok," katanya yang turut berharap mampu menewaskan pasukan Tampines Rovers dari Singapura di tempat lawan 4 April nanti. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan