Pemain Antarabangsa Jerman Lukas Podolski Sertai Arsenal

Diterbitkan: Khamis, 8 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Poldolski bakal menyarung jersi Arsenal.
Poldolski bakal menyarung jersi Arsenal.

LONDON: Pemain veteran Jerman, Lukas Podolski dilaporkan telah bersetuju secara prinsip untuk menyertai Arsenal dari kelab Koln pada musim hadapan dengan harga perpindahan sebanyak £10.9 juta.

Menurut akhbar The Guardian, pemain berusia 26 tahun itu yang telah mewakili Jerman sebanyak 95 kali termasuk bermain dalam dua pusingan akhir Piala Dunia dikatakan telah bersetuju menandatangani kontrak empat tahun dengan gaji sebanyak £100,000 seminggu.

Para peminat setia Arsenal sebelum ini memang mendesak Arsène Wenger supaya membeli seorang penyerang yang berpengalaman untuk digandingkan dengan Robin van Persie (RVP).

Dan Arsenal juga terdesak untuk menyakinkan Van Persie supaya menandatangani kontrak baru memandangkan kontraknya sekarang akan tamat dalam tempoh 12 bulan dari sekarang.

Sekiranya mereka gagal mengandingkannya dengan seorang penyerang yang berprofil tinggi, Arsenal mungkin akan kehilangan khidmat RVP.

Podolski yang merupakan seorang kelahiran Poland mula mewakili Jerman ketika masih berusia belasan tahun dan kini pada usia 26 tahun telah dilihat sebagai seorang pemain veteran.

Musim ini sahaja dia telah menjaringkan 16 gol Bundesliga.

Sebelum menyertai Koln, Podolski bermain untuk Bayern Munich dari tahun 2006 hingga 2009.

Selain Arsenal, Lokomotiv Moscow dan kelab bercita-cita tinggi dari Rusia, Anzhi Makhachkala turut memburu tanda tangan Podolski.

Bagaimanapun Per Mertesacker - seorang lagi pemain antarabangsa Jerman yang bermain dengan Arsenal adalah orang yang bertanggungjawab mempengaruhi perpindahannya ke kelab London itu.

Mertesacker yang berpindah ke Arsenal dari Werder Bremen musim lalu telah mengesahkan pada Rabu bahawa Podolski bercakap panjang lebar dengannya tentang kemungkinan berpindah ke Arsenal musim depan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan