Johor Mungkin Hantar Satu Pasukan Sahaja Tahun Depan - Presiden PBNJ

Diterbitkan: Jumaat, 17 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Johor bekemungkinan besar akan hanya menghantar satu pasukan negeri sama ada untuk saingan Liga Super atau Liga Perdana tahun depan, kata Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) yang baru, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim.

Baginda membayangkan kemungkinan itu selepas pelantikannya secara rasmi ke jawatan itu berikutan mesyuarat agung luar biasa PBNJ hari ini, menggantikan exco Belia dan Sukan Negeri, Jais Sarday.

"Saya tidak faham mengapa kita perlu membahagikan keupayaan kita. Kita sepatutnya mengembeleng semua kekuatan terhadap satu pasukan sahaja, dengan hanya satu pasukan negeri sahaja yang Bertanding," katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.

Ketika ini, cabaran Johor dalam saingan Liga Super musim ini diwakili oleh pasukan Johor FC, manakala cabarannya dalam Liga perdana pula adalah menerusi Johor dan Majlis Bandaraya Johor Baharu FC serta Majlis Perbandaran Muar.

Menurut baginda, sepatutnya pemain-pemain terbaik negeri hanya mewakili satu pasukan iaitu pasukan negeri Johor.

Baginda berkata, kedudukan kewangan persatuan juga dapat diperkukuhkan apabila hanya satu pasukan yang terlibat dalam saingan Liga Malaysia.

Selain itu, katanya, jumlah kehadiran peminat ke stadium untuk menyaksikan perlawanan yang membabitkan pasukan negeri dapat dipertingkatkan, dengan kesetiaan rakyat Johor hanya terhadap pasukan negeri.

Tunku Mahkota Johor itu tidak mahu pasukan-pasukan bola sepak menjadi mangsa kepada kepentingan peribadi sesuatu pihak.

Pada sidang media itu, baginda turut mengumumkan pelantikan legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad sebagai pengurus pasukan Johor yang baru menggantikan Datuk Abdul Aziz Sapian.

Mengenai pemilihan Fandi, Tunku Mahkota Johor berkata: "Dia adalah ikon saya dan legenda yang masih hidup, saya berharap pemain-pemain dapat mempergunakan pengalaman luas dan kepakaran yang dimiliki oleh Fandi."

Jurulatih pasukan Johor pula adalah K. Sukumaran.

Mengenai perancangan bagi pasukan Johor musim ini, baginda berkata, sasaran utama PBNJ adalah untuk memastikan Johor layak bersaing dalam Liga Super pada tahun depan. Untuk mencapai sasaran itu katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk mengambil pemain-pemain berkualiti daripada dalam dan luar negara bagi memperkukuhkan pasukan Johor.

Mengenai cadangan menggunakan kepakaran bekas bintang Argentina, Gabriel Batistuta bagi membantu pasukan Johor, katanya, kedua-dua pihak masih berbincang dengan pemain legenda itu yang dijangka datang ke Johor Baharu pada 17 Mac ini. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan