Dua Remaja Jalani Latihan Dengan Kelab Cruzeoiro

Diterbitkan: Jumaat, 17 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Kemahiran luar biasa seorang remaja S.Kumaahran dalam bermain bola sepak telah menarik minat kelab Cruzeiro dari Brazil untuk menawarkannya sebagai pemain kelab itu.

Pemain berusia 16 tahun itu akan menjalani ujian prestasi selama dua bulan di Belo Horizonte di Brazil mulai 25 Februari ini.

Beliau sebelum ini pernah mengikuti latihan sebulan dengan kelab itu di tempat yang sama pada Ogos tahun lepas.

Kumaahran berkata peluang untuk bermain dengan kelab Cruzeiro itu menjadi impiannya sejak kecil dan tidak menyangka ia menjadi kenyataan dalam hidupnya.

"Ini peluang kedua untuk saya mempelajari skil-skil hebat dari kelab Cruzeiro, mereka berlatih berbeza dan lebih cekap. Ia benar-benar mengubah persepsi saya mengenai bola sepak," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Katanya, beliau juga menaruh harapan untuk menyarung jersi kebangsaan satu hari nanti tetapi mahu beraksi dengan pasukan luar negara dahulu bagi menimba pengalaman di peringkat antarabangsa.

Beliau yang berasal dari Butterworth ditemui selepas menerima sumbangan untuk perbelanjaan di Brazil sebanyak RM2,000 daripada Presiden persatuan Persatuan Bola Sepak India Pulau Pinang (PIFA) J.Dhina.

Selain Kumaahran, seorang lagi pemain bola sepak remaja B.Sanjeet Dinesh, 16, yang juga berasal di Butterworth turut menerima sumbangan berkenaan bagi menampung perbelanjaannya semasa latihan dengan kelab Cuzeiro.

"Saya tahu bahawa saya tidak akan mendapat banyak peluang seperti ini. Tetapi saya percaya pada diri saya sendiri dan saya rasa ia peluang bagi saya untuk mencontohi idola saya, Santokh Singh, di arena antarabangsa," katanya yang pertama kali dipanggil untuk berlatih dengan kelab berkenaan.

Sementara itu, Jaino Matos wakil rasmi Cruzeiro di Malaysia berkata kelab itu sangat berminat untuk membawa Kumaahran menjalani percubaan sekali lagi dan rakyat Malaysia semua harus berbangga dengan semua itu.

"Ia merupakan sebuah kelab besar dan elit, mereka pasti melihat potensi yang ada pada Kumaahran dan terbaru Sanjeet Dinesh. Terus terang kedua-dua remaja itu mempunyai potensi untuk bersinar pada masa akan datang," katanya yang juga jurulatih bola sepak Majlis Sukan Negara. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan