Capello Letak Jawatan Pengurus England

Diterbitkan: Khamis, 9 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LONDON: Kepimpinan Fabio Capello sebagai pengurus pasukan England berakhir pada Rabu apabila beliau meletakkan jawatan selepas mengadakan mesyuarat dengan Pengerusi FA, David Bernstein dan Setiausaha Agung, Alex Horne di Stadium Wembley.

Perbincangan itu diikuti dengan keputusan FA untuk melucutkan John Terry sebagai kapten pasukan selepas satu perbicaraan terhadap dakwaan isu perkauman pemain pertahanan Chelsea itu terhadap pemain Queen Park Rangers, Anton Ferdinand baru-baru ini.

Perbicaraan tersebut bagaimanapun ditangguhkan sehingga Julai.

Terry yang membawa pasukan England pada Kejohanan Eropah tahun ini menafikan pertuduhan itu.

Capello, 65, meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap keputusan itu dalam temuramah dengan stesen televisyen Itali pada Ahad lalu.

Menurut satu kenyataan FA, peletakan jawatan Capello diterima dan beliau akan meninggalkan jawatan itu serta-merta selepas bertanggungjawab terhadap pasukan itu selama lebih empat tahun.

“Saya ingin menegaskan bahawa mesyuarat hari ini dan sepanjang beliau (Capello) sebagai pengurus England, beliau berkelakukan dengan cara yang amat profesional.” Kata Bernstein dalam satu kenyataan.

“Kami menerima peletakan jawatan Capello, bersetuju ini adalah keputusan yang tepat. Kami berterima kasih kepada Capello sepanjang kerjasamanya dengan pasukan England dan mendoakan kejayaan beliau pada masa akan datang,” katanya lagi. - REUTERS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan