Syahrul Azwari Mahu Menyerlah Di Liga Singapura

Diterbitkan: Khamis, 2 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain skuad Harimau Muda, Syahrul Azwari Ibrahim (gambar), berharap dapat membantu pasukan itu merealisasikan hasrat jurulatih Ong Kim Swee untuk muncul antara lima pasukan terbaik dalam saingan Liga Singapura (Liga-S) yang bermula 9 Februari ini.

Katanya sasaran itu mampu dicapai sekiranya setiap pemain Harimau Muda dapat mempersembahkan satu bentuk permainan berkualiti dalam menghadapi saingan Liga-S yang kebanyakan pasukan dibarisi pemain import.

"Selepas tidak disenaraikan bersama pasukan negara ke Bahrain, fokus utama saya pada masa kini hanya untuk kembali cergas sebelum Liga-S bermula," katanya.

Syahrul Azwari berkata beliau sudah menjangkakan namanya tidak tersenarai ke Bahrain kerana baru pulih daripada kecederaan semasa Sukan SEA di Indonesia tahun lepas.

Ahad ini, Malaysia akan menentang Bahrain di Stadium Manama dalam pusingan kedua kelayakan Olimpik 2012 peringkat kumpulan C zon Asia.

"Sekarang saya dalam proses pemulihan dan hanya menjalani latihan ringan selain dijangka berlatih bersama skuad Harimau Muda B," katanya.

Skuad Harimau Muda akan menggunakan Stadium Yishun di Singapura sebagai stadium rasmi bagi saingan Liga-S, yang membabitkan 13 pasukan termasuk tiga dari luar republik itu iaitu Harimau Muda, Brunei DPMM FC serta Albirex Niigata dari Jepun.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan