Safee Yakin Tiada Masalah Untuk Terus Bermain Dengan Pasukan Kebangsaan Malaysia

Diterbitkan: Rabu, 1 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Safee Sali, yang menyambung kontrak selama dua tahun lagi dengan kelab bola sepak Pelita Jaya FC, Jakarta, yakin dapat terus bermain untuk pasukan kebangsaan Malaysia, walaupun Liga Super Indonesia (ISL) yang disertai Pelita Jaya sekarang berdepan kemungkinan diharamkan oleh FIFA.

"Kalaupun FIFA mengharamkan ISL, kelab Pelita Jaya tidak diharamkan. Pelita Jaya boleh bermain dalam mana-mana liga di rantau ini, contohnya ia boleh bermain di liga Malaysia, di liga Singapura.

"Para pemain juga tidak diharamkan. Jadi saya boleh bermain untuk pasukan kebangsaan," katanya ketika ditemui selepas acara pengumuman penyambungan kontraknya dengan Pelita Jaya di sini, Rabu.

Pemain berusia 28 tahun itu berkata beliau akan kembali bergabung dengan rakan-rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan Malaysia tidak lama lagi ke Australia untuk bermain dalam perlawanan persahabatan dengan Arab Saudi.

Menurut pengurus Safee, Zakaria Rahim, pemain kebangsaan itu menyambung kontrak selama dua tahun lagi dengan Pelita Jaya dengan kontrak bernilai lebih RM2 juta termasuk pelbagai kemudahan seperti bonus tetap perlawanan, rumah, kenderaan, pemandu peribadi, cukai yang dibayar oleh kelab, tiket pergi balik ke Kuala Lumpur yang disediakan oleh kelab dan penghormatan sebagai Ketua Pasukan Pelita Jaya FC.

Dalam kontrak baru, pemain itu yang akan bermain dengan Pelita Jaya untuk dua musim lagi sehingga 31 Jan 2014, akan turut diberi peluang bermain dengan mana-mana kelab milik penuh Pelita Jaya Cronus apabila ada peluang dan sesuai dengan tempoh pendaftaran yang ditetapkan oleh liga di negara-negara berkenaan.

Selain Pelita Jaya FC, kelab milik penuh Pelita Jaya Cronus, termasuklah Brisbane Roar FC di Australia yang akan bermain di AFC Champions League 2012, CS Vise di Belgium, kelab divisyen dua di Liga Belgium dan SAD Uruguay sebuah kelab pembentukan pemain remaja di Uruguay.

Safee percaya kemelut yang sedang berlaku berkaitan ISL dan Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) dapat diselesaikan dengan baik kerana ia merupakan masalah dalaman.

ISL berdepan dengan kemungkinan diharamkan oleh FIFA kerana menjalankan liga bola sepak secara tersendiri dan tidak diiktiraf oleh PSSI.

"Saya tidak mempunyai masalah dengan FIFA dan dengan PSSI untuk bermain dengan skuad kebangsaan Malaysia.

"Memang saya fikirkan tentang masalah untuk bermain dengan skuad kebangsaan, itu adalah pertimbangan saya yang utama untuk memilih dan membuat satu keputusan, jadi saya lihat di kelab Pelita Jaya ini, saya tidak mempunyai masalah itu dan saya akan tetap bermain di Pelita Jaya," katanya.

Sehubungan itu beliau tidak ragu-ragu dengan keputusannya itu kerana dalam keadaan apa sekalipun beliau tetap boleh bermain untuk pasukan kebangsaan Malaysia.

"Kalau saya diharamkan oleh FIFA, itu baru saya tak boleh bermain untuk skuad kebangsaan dan masalah itu akan berlaku jika saya sendiri yang buat masalah dengan FIFA," katanya.

Komitmen yang ditunjukkan oleh Pelita Jaya dalam pengembangan karier bola sepak para pemain di kelab itu, turut menarik minat beliau untuk terus kekal di Pelita Jaya.

"Saya melihat mereka betul-betul komited untuk menghantar pemain yang berprestasi tinggi untuk bermain di tahap yang lebih tinggi di luar negara.

"Sebenarnya Pelita Jaya menawarkan kontrak tiga tahun dan saya hanya mahu memanjangkan kontrak selama satu tahun sahaja lagi, tetapi setelah pihak saya mengadakan perbincangan yang panjang, kami mengambil jalan tengah iaitu menyambung kontrak selama dua tahun lagi," katanya.

Safee berkata beliau melihat peluangnya untuk berkembang maju di Pelita Jaya adalah lebih besar berbanding kelab-kelab besar lain di luar negara, di mana beliau mungkin hanya akan ditempatkan di kerusi simpanan.

"Daripada prestasi permainan saya merosot berbanding sekarang, lebih baik saya bermain dan meningkatkan prestasi saya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan