Kedah Buat 'Post Mortem' Kenal Pasti Masalah Pemain, Pasukan

Diterbitkan: Isnin, 30 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan melakukan 'post mortem' dengan segera bagi mengenalpasti masalah yang dihadapi pemain dan pasukan Liga Super, sehingga menyebabkan pasukan itu masih gagal mencapai kemenangan selepas lima perlawanan.

Pengurus pasukan Datuk Khazali Din berkata KFA tidak boleh melengahkan proses itu memandangkan prestasi pasukan berkenaan kian hambar dan mengecewakan.

Beliau berkata langkah drastik perlu diambil dengan melakukan beberapa perubahan corak permainan pasukannya ketika bertemu Kuala Lumpur Selasa ini dan turut bergantung kepada pemain muda untuk melakukan sesuatu.

"Pemain lama pun tak memberangsangkan. Mereka sendiri yang kena bertanggungjawab kerana mereka langsung tidak bertenaga ketika bertemu dengan Johor FC," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman di sini malam Sabtu.

Khazali yang kecewa dengan prestasi hambar pemain Kedah turut memberi amaran keras untuk memberi surat amaran serta membuat pemotongan gaji secara berperingkat jika masih tidak beraksi dengan baik.

Pertemuan dengan Johor FC malam tadi menyaksikan Kedah sekali lagi tersungkur di laman sendiri 1-3 di hadapan lebih 1,000 penyokong sendiri.

Gol Johor FC dijaringkan oleh Azi Shahril Azmi pada minit ke-45, Riduwan Ma'on (minit ke-64) dan Mohd Khaironizam Sahabuddin (minit ke-70) manakala gol saguhati tuan rumah dijaringkan oleh Mohd Khyril Muhymeen Zambri (minit ke-81), yang merupakan satu-satunya gol pasukan itu dalam saingan Liga Super musim ini.

Mengenai pemain import, Khazali berkata KFA akan lebih berhati-hati dalam memilih pemain import selepas ini bagi menguatkan jentera serangan pasukan itu dan akan menguji 10 pemain import yang keputusannya akan diketahui tidak lama lagi.

Pencarian import baru adalah bagi menggantikan dua dari Brazil Daniel Soares Neves dan Danilo Rafael Dos Santos Vivaldo yang disingkirkan KFA selepas perlawanan dengan Johor FC malam tadi ekoran gagal mempamerkan prestasi yang baik.

"Kita tidak akan tergesa-gesa memilih import kerana dua import yang kita ambil langsung tak mendatangkan hasil dan KFA rugi kena bayar gaji RM150,000 (untuk tiga bulan setiap seorang) untuk singkirkan mereka," katanya.

Ditanya mengenai bekas penyerang import Perlis Philemon Chipeta yang dikatakan bakal menyarung jersi Kedah, Khazali berkata pihaknya akan menguji pemain itu terlebih dahulu bagi mengenalpasti tahap kecergasan sebelum membuat sebarang keputusan muktamad sebelum 12 Feb ini.

Mengenai desakan penyokong Kedah yang mahu beliau meletakkan jawatan pengurus pasukan, Khazali berkata beliau tidak boleh meninggalkan pasukan dalam keadaan pincang.

Sementara itu, lebih 1,000 penyokong Kedah berhimpun di luar stadium selama kira-kira 45 minit selepas perlawanan malam tadi mendesak pengurus pasukan itu meletak jawatan kerana kegagalan pasukan mencipta kemenangan dalam lima perlawanan.

Mereka juga menyerbu Khazali yang dikawal ketat oleh polis kerana tidak puas hati dengan tindakannya yang enggan mengundur diri daripada KFA, malah ada segelintir penyokong bertindak mengejar kereta Khazali sebagai tanda bantahan terhadapnya. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan