Tengku Abdullah Bincang Isu Rasuah Bola Sepak Negara

Diterbitkan: Khamis, 26 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah akan berbincang dengan Polis Diraja Malaysia bagi mencari jalan penyelesaian memerangi gejala rasuah bola sepak dan mengatur perlawanan di negara ini.

Menurut Tengku Mahkota Pahang, isu rasuah dalam kalangan pemain bola sepak akan diberi keutamaan kerana jika ia dibiarkan menular, kredibiliti sukan itu dan imej pasukan bola sepak negara akan terjejas.

"Setakat ini saya tidak akan buat apa-apa kenyataan sehingga berjumpa dengan PDRM. Usaha membanteras gejala rasuah ini kita akan tingkatkan, sebab kita tak mahu disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga...sebab seorang dua, rosak nama sukan bola sepak negara.

"Walaupun susah kita nak atasi tapi kita akan lakukan demi memajukan sukan ini ke tahap lebih tinggi," katanya kepada pemberita di Sungai Isap di sini hari ini selepas melawat keluarga dua beradik yang mati lemas ketika mandi di Pantai Sepat di sini Ahad lepas.

Tengku Abdullah turut kesal sekiranya isu itu melanda pemain-pemain muda yang telah diberikan peringatan serta tahu implikasi daripada perbuatan rasuah terhadap diri mereka serta kepada sukan bola sepak negara.

"Kita berharap polis dapat beri pandangan (dan) sekiranya undang-undang yang ketat perlu dilaksanakan, kita akan buat," katanya.

Menurut baginda, gaji bukan faktor yang menyebabkan gejala itu berlaku kerana imbuhan yang diterima pemain adalah setimpal dengan prestasi mereka.

Tengku Abdullah mengulas kenyataan Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad sebelum ini yang menjelaskan isu rasuah dalam bola sepak bukan tanggungjawab utama FAM dan menuntut kerjasama PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk membanteras jenayah itu.

Tengku Abdullah mahu pengurusan bola sepak di setiap negeri atau kelab bola sepak di negara ini mempunyai kuasa melantik, menukar atau memecat pemain import yang tidak menyerlah pada bila-bila masa bagi memastikan prestasi pasukan mereka tidak terjejas.

"Mesti ada kata sepakat antara pasukan dan pemain import...jika (pemain) tidak menyerlah, tidak berdisiplin dan tidak mahu menukar corak permainan, (pengurusan) jangan buang duit dan tunggu setahun baru bertindak.

"Lebih baik kita laburkan wang untuk bantu pemain-pemain muda kita bagi memantapkan lagi mutu suka bola sepak negara," katanya.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan