Yunus Hilang Sabar, Zacharia Simukonda Kurang Menyengat

Diterbitkan: Selasa, 24 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Jurulatih T-Team, Yunus Alif sudah hilang kesabaran dengan pemain import, Zacharia Simukonda, yang tidak memberi gambaran sebagai seorang pemain bertaraf profesional.

Beliau berkata Zacharia akan diberi peluang dalam beberapa perlawanan lagi sebelum tindakan drastik diambil ke atas pemain dari Zambia itu.

Yunus bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai tindakan yang bakal diambil nanti.

"Persembahannya amat mengecewakan dan tidak menunjukkan permainan seperti diharapkan oleh peminat T-Team," katanya di sini, Selasa.

Yunus berkata sebagai pemain penyerang, T-Team menaruh harapan amat tinggi kepada Zacharia untuk menjaringkan gol tetapi ternyata pemain itu gagal berbuat demikian.

Zacharia setakat ini baru menjaringkan satu gol dalam Liga Super setelah mengharungi empat perlawanan.

Yunus berkata Zacharia perlu menunjukkan persembahan lebih bertenaga dan berkesan pada perlawanan akan datang bagi mengelak tindakan di ambil ke atasnya.

Menurut Yunus, Sabtu ini, T-Team akan melayan kunjungan Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini dan beliau menjangka perlawanan itu sengit dan menarik.

T-Team, katanya, mengharapkan Zacharia memberikan persembahan terbaik dan berkesan supaya dapat mengembalikan keyakinan pasukan terhadap pemain import itu.

Yunus mengingatkan anak buahnya supaya tidak melakukan kesilapan mudah apabila bertemu pasukan dari Lembah Klang itu.

Katanya, ketua pasukan Rosdi Talib yang direhatkan kerana demam dijangka kembali memperkuatkan pasukan T-Team Sabtu ini.

T-Team sekarang menduduki tangga keempat Liga Super dengan 7 mata daripada empat perlawanan setakat ini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan