Syamsuri Dijangka Turun Bantu T-Team Bulan Depan

Diterbitkan: Ahad, 22 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Penjaga gol utama pasukan kelab T-Team, Syamsuri Mustapa, dijangka dapat beraksi semula pada saingan Liga Super bulan depan selepas pulih sepenuhnya dari pembedahan lutut pada Julai tahun lepas.

Jurulatih T-Team Yunus Alif berkata, bekas penjaga gol kebangsaan itu telah pulih sepenuhnya dan telah turun berlatih bersama pemain yang lain untuk menguatkan fizikalnya.

"Syamsuri sudah pulih, tetapi masih belum menerima lampu hijau daripada pegawai perubatan untuk turun bermain," katanya ketika ditanya mengenai keadaan penjaga gol itu pada Ahad.

Syamsuri telah direhatkan selama enam bulan selepas menjalani pembedahan lutut pada Julai tahun lepas.

Yunus berkata, beliau yakin pasukan T-Team akan lebih mantap, khususnya di bahagian gawang apabila Syamsuri kembali nanti.

Beliau berkata, kehadiran Syamsuri akan menyuntik semangat pemain-pemain yang lain untuk memberi persembahan terbaik dalam pasukan berstatus kelab itu.

Buat pertama kali, Yunus berkata, pemain itu disenaraikan ketika T-Team bertemu Terengganu di sini malam Sabtu, tetapi Syamsuri hanya sekadar pemain simpanan sahaja.

Dalam pada itu, Yunus berkata, T-Team kurang bernasib baik kerana tumpas 1-2 kepada Terengganu walaupun telah mendahului pasukan itu pada suatu ketika.

"Nasib kita kurang baik kerana kita terpaksa bermain dengan 10 orang setelah pemain pertahanan kita dilayang kad merah," katanya.

Pengendali pasukan T-Team itu berkata, beliau sangat berpuashati dengan persembahan anak buahnya yang begitu mantap walaupun kekurangan seorang pemain sehingga wisel penamat.

T-Team akan menentang Selangor dalam perlawanan seterusnya Sabtu ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: T-Team , Syamsuri Mustapa , Liga Super , Yunus Alif

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan