FAM Teliti Surat Penjelasan Persatuan Bola Sepak Perlis Berhubung Atur Perlawanan

Diterbitkan: Jumaat, 20 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan meneliti surat penjelasan yang diterimanya daripada Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) berhubung laporan pemain Perlis terlibat dalam mengatur perlawanan Liga Perdana.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata FAM telah menerima surat penjelasan itu daripada wakil PFA yang hadir ke Wisma FAM, Kelana Jaya lewat petang Khamis.

"Kita akan meneliti isi kandungan surat penjelasan tersebut terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan berhubung isu tersebut. Namun saya tidak dapat mengulas lanjut butiran surat itu," katanya ketika dihubungi Bernama, Jumaat.

Azzuddin berkata FAM akan memaklumkan isi kandungan surat tersebut kepada media dalam masa terdekat setelah pentadbiran FAM membincangkan perkara itu terlebih dahulu.

Beliau berkata sebelum ini FAM meminta PFA menghantar surat penjelasan selewat-lewatnya petang Jumaat.

Semalam Presiden PFA, Datuk Seri Shahidan Kassim mendedahkan sembilan pemain Perlis terlibat dalam mengatur perlawanan ketika menentang Majlis Pembandaran Muar (MP MUAR) dan meminta FAM segera menyiasat perkara tersebut. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan