Pemain Import Diharap Suntik Semangat, Tingkatkan Kecekapan Pasukan Sabah

Diterbitkan: Ahad, 8 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Kemasukan dua pemain import dalam pasukan bola sepak Sabah diharap menyuntik semangat dan meningkatkan kecekapan pemain lain untuk beraksi dalam Liga Super yang akan bermula minggu depan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa), berkata penyokong 'Sabahawks' akan menaruh harapan yang tinggi agar pasukan negeri dapat memberi persembahan terbaik tahun ini.

"Tahun ini seharusnya menjanjikan persembahan menarik kerana kita mendapat khidmat pemain import.

"Oleh itu, saya berharap semua pemain dapat bekerja secara berpasukan dan dapat menghabiskan musim ini di kedudukan antara lima pasukan teratas," katanya pada majlis perjumpaan dengan pasukan itu di sini Sabtu.

Dua pemain import yang akan beraksi ialah Brendan Gan dan Michael Baird masing-masing dari Australia, manakala Shahrudin Yakup pula berpindah dari Sime Darby FC.

Pasukan itu turut menyaksikan tiga anak watan Sabah kembali untuk beraksi iaitu Bobby Gonzales (dari Sarawak FA), Ronny Harun (dari Terengganu FA) dan Irwan Jamil yang digugurkan pada tahun lepas kerana kecederaan.

Sabah akan berdepan KL Felda di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Isnin ini sebelum beraksi di laman sendiri menentang Sarawak pada 14 Jan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan