Zamri Salleh Akhirnya Lepasi Kelayakan Ke Olimpik London

Diterbitkan: Ahad, 1 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelumba basikal kebangsaan, Mohd Zamri Salleh berjaya merebut slot untuk beraksi dalam skuad lebuhraya kebangsaan pada Sukan Olimpik London Ogos ini setelah muncul juara keseluruhan Kejohanan Sirkit Grand Prix Kebangsaan 2011 (GP Grand Finale 2011) yang berakhir di Dataran Tanjung Emas, Muar pada Sabtu.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) menetapkan juara keseluruhan GP Finale sebanyak tujuh pusingan melibatkan GP Kelantan, GP Kuala Lumpur, GP Melaka, GP Pahang, GP Perlis, GP Negeri Sembilan dan GP Johor akan dipertimbangkan untuk berlatih dan merebut dua slot ke Sukan Olimpik 2012 di London.

Malaysia sudah mengesahkan penyertaan pada acara lebuhraya pada Sukan Olimpik di London Ogos nanti dan MNCF dijangka menamakan dua atlet lebuh raya negara yang layak beraksi ke temasya sukan terbesar dunia itu pada Mei depan.

Presiden MNCF, Abu Samah Abdul Wahab dalam kenyataan hari ini berkata Mohd Zamri yang bakal menyarung jersi Terengganu Cycling Team (TSG) untuk perlumbaan musim ini meraih 49 mata selepas mengharungi tujuh kejohanan GP Kebangsaan termasuk dua kali menaiki podium pada GP Kelantan dan GP Melaka.

Pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2009 di Laos itu berjaya mengesahkan kejuaraannya sekalipun hanya menduduki tempat kelapan pada perlumbaan sejauh 174.10 kilometer itu setelah pesaing terdekat Mohd Nor Umardi Rosdi hanya meraih posisi ke-11.

Mohd Nor Umardi dan Mohammad Saufi Mat Senan, kedua-duanya dari TSG selepas masing-masing menduduki tangga kedua dan ketiga keseluruhan untuk berkongsi 44 mata, kata Abu Samah.

Perlumbaan tersebut dimenangi oleh pelumba TSG, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki dengan catatan masa 4 jam 25 minit 42.112 saat sambil diekori pelatih kebangsaan, Mohd Zulhilmi Afif yang ketinggalan 1.371s di belakang.

Kejayaan terbaru itu jelas menaikkan semangat Mohd Zamri untuk menagih slot berlumba di Sukan Olimpik 2012 nanti rentetan kejayaan muncul juara keseluruhan GP Kebangsaan.

"Saya mahu menyarung jersi Malaysia pada Sukan Olimpik nanti. Saya rasa prestasi saya sangat konsisten dan cemerlang pada masa ini. Saya rasa akan lebih mantap apabila saya mula berlatih dan berlumba bersama rakan sepasukan dalam Terengganu Cycling Team," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang pernah mengalami kemerosotan prestasi pada 2010 berkata beliau giat berlatih bersendirian di Terengganu untuk kembali mendapatkan prestasi dan menyerlah di peringkat kebangsaan.

"Rasanya saya tiada masalah untuk bergandingan dengan rakan pelumba TSG kerana kelebihan utama kami ialah kami berkomunikasi dalam bahasa (dialek) yang sama iaitu bahasa Terengganu.

"Inilah yang akan menaikkan semangat saya untuk lebih berjaya pada musim 2012," katanya lagi.

Mohd Zamri percaya kombinasi dengan adiknya Mohd Harrif yang menduduki tempat keenam keseluruhan boleh memastikan pasukan lebuh raya negara melakukan kejutan terbesar pada Sukan Olimpik nanti.

Kategori elit wanita menyaksikan pelumba Kedah, Masziyaton Mohd Radzi yang juga pemenang pingat perak pada Sukan Sea Indonesia yang berakhir baru-baru ini muncul juara keseluruhan setelah mengumpul 89 mata manakala Mariana Mohamad dari Selangor mengisi tempat kedua dengan 71 mata.

Pada perlumbaan semalam, Mariana berjaya mengetepikan Masziyaton sambil Muslihah Salim daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menduduki tempat ketiga.

Kategori junior lelaki pula menyaksikan Sofian Nabil Omar Mohd Bakri dari Terengganu muncul juara keseluruhan setelah mengutip 85 mata manakala pesaing terdekat dari Johor, Mohamad Al Azani Zainal muncul naib juara dengan mengutip 59 mata.

Mohamad Al Azani dari Johor pula muncul juara kategori junior lelaki dengan masa 3:20:37.782s sambil diekori Muhammad Syazwan Aliff Zaidy yang hanya keciciran 0.225s manakala Abdul Ariff Abdul Rahman dari Terengganu menduduki tempat ketiga. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan