Kedah Yakin Julang Trofi Piala Emas Raja-Raja

Diterbitkan: Rabu, 14 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Pasukan Kedah yang dibantu enam pemain berpengalaman Liga Super yakin mampu menjulang tropi Piala Emas Raja-Raja kali ini setelah berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir dan bakal menentang Melaka di Stadium Darul Aman, Sabtu ini.

Ketua jurulatih Kedah Mohamad Ramlee berkata gandingan mereka dengan pemain Piala Presiden mampu menjadikan pasukan Kenari lebih mantap untuk berhadapan dengan pasukan lain di peringkat akhir.

Enam pemain itu adalah Mohd Faizal Abu Bakar, Mohd Fazliata Taib, Hattaphon Bun An, Wan Mohd Asraf Wan Ali, Mohd Sany Mat Isa dan Mohd Muhaimin Mohamad dijangka mampu menyumbang gol kemenangan untuk pasukan Kedah.

Katanya beliau memberi sandaran kepada enam pemain Liga Super yang akan bermain untuk kesebelasan utama kerana mereka sanggup membantu pasukan Kedah menjulang trofi kejuaraan kali ini.

"Setakat ini persediaan tahap kecergasan, fizikal dan mental pemain pada kedudukan terbaik dan tiada pemain utama menghadapi kecederaan serius," katanya ketika ditemui di Pejabat Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah di sini Rabu.

Pada aksi suku akhir Sabtu lalu, Kedah menumpaskan Pulau Pinang 2-0 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang manakala Melaka menundukkan Selangor 2-0 dengan agregat 5-1 di Stadium Hang Tuah.

Pahang akan bertemu Perlis setelah menundukkan lawan masing-masing, Polis Diraja Malaysia (PDRM), 2-0 dan Majlis Sukan Malaysia (MASUM) 3-0.

Katanya untuk rekod tahun lalu pasukan Kedah menang mudah kepada Melaka namum pasukannya perlu berwaspada dengan kebangkitan pasukan itu yang tidak pernah kalah pada peringkat kumpulan dan suku akhir.

"Kita perlu mencari gol awal Sabtu ini dan tidak boleh pandang ringan terhadap pasukan Melaka yang digambarkan pasukan terbaik tahun ini yang mempunyai persediaan yang mantap," katanya.

Mohamad menyeru kepada peminat bola sepak Kedah supaya hadir ke Stadium Darul Aman bagi memberi sokongan dan meningkatkan semangat serta moral pemain.

Para peminat boleh mendapatkan tiket di kaunter Stadium Darul Aman, Sabtu ini dengan harga RM10 (tempat duduk berbumbung) dan RM5 (untuk tempat duduk tidak berbumbung). -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan