FAM Benarkan 10 Pemain Lions XII Berusia 23 Ke Atas Sertai Liga Malaysia

Diterbitkan: Rabu, 14 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)membenarkan khidmat 10 pemain Lions XII yang melebihi usia 23 tahun menyertai Liga Malaysia musim depan berdasarkan perjanjian empat tahun yang ditandatangani antara FAM dengan Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) di Wisma FAM, pada 12 Julai lepas.

Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata perjanjian tersebut membenarkan pasukan Lions XII dan juga Harimau Muda A sahaja untuk mengambil 25 pemain bawah 23 tahun dan tambahan 10 pemain melebihi 23 tahun.

Inisiatif tersebut merupakan salah satu pembaharuan FAM dalam Liga Malaysia musim depan, katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat dan undian Liga Malaysia musim 2012 di sini.

Pada 5 Disember lepas, FAS telah mengumumkan senarai 28 pemain untuk skuad tersebut yang bersaing dalam Liga Malaysia musim depan sebagai pertukaran dengan Harimau Muda A yang akan bersaing dalam Liga Singapura.

Antara pemain skuad tersebut yang melebihi usia 23 tahun ialah pemain pertahanan Juma'at Jantan, 27, pemain tengah Isa Halim, 25, dan Shahril Ishak, 28 serta penyerang Agu Casmir, 27.

Hamidin berkata perjanjian itu turut bersetuju bahawa pertandingan 'National Series' yang melibatkan kedua-dua negara akan diwujudkan kembali bermula pada bulan Jun depan.

"Selain itu, kita turut mengadakan kerjasama dari segi pengadilan dengan pengadil daripada Singapura akan mengadili perlawanan di Liga Malaysia dan begitu juga sebaliknya," katanya.

Beliau berkata kedua-dua negara akan mengadakan pertandingan bola sepak bawah umur 23, 21, 19, 17 dan 15 bermula tahun depan.

Sementara itu, beliau berkata hadiah wang tunai bagi juara Liga Super dan Liga Perdana musim ini dinaikkan 50 peratus.

Berikutan semakan tersebut, juara Liga Super akan menerima wang tunai sebanyak RM750,000 berbanding RM500,000 sebelum ini, naib juara mendapat RM450,000 dan tempat ketiga mendapat RM300,000

Juara Liga Perdana pula akan menerima wang tunai berjumlah RM300,000 berbanding RM150,000 sebelum ini, naib juara mendapat RM150,000 dan tempat ketiga memperolehi RM75,000.

"Keputusan menaikkan jumlah wang tunai ini mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Kewangan FAM Sabtu lepas setelah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh saya membentangkan cadangan penambahan wang tunai dalam mesyuarat exco FAM yang lepas," kata Hamidin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM.

Hamidin turut mengumumkan 26 pasukan dalam Liga Malaysia iaitu 14 pasukan Liga Super dan 12 pasukan Liga Perdana akan diberikan tambahan geran tahunan berdasarkan prestasi pasukan masing-masing.

"Juara Liga Super akan diberikan geran berjumlah RM325,024 manakala juara Liga Perdana akan mendapat RM160,728 dan begitu juga sebaliknya berdasarkan prestasi pasukan masing-masing.

"Geran berbentuk insentif ini hanya terbuka kepada pasukan tempatan sahaja dan pasukan Lions XII (bawah 23 tahun Singapura) tidak layak. Bagaimanapun mereka masih mendapat hadiah wang tunai seperti yang diperolehi oleh Harimau Muda A yang bertanding dalam Liga Singapura," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan