Abdul Hadi Sasar 25 Gol Musim Depan

Diterbitkan: Isnin, 12 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Penyerang berbisa Terengganu Abdul Hadi Yahaya berazam mahu memperbaharui rekod jaringan serta mempertahankan gelaran penjaring terbanyak Liga Super pada musim akan datang Pemain berusia 26 tahun itu telah menyasarkan sekurang-kurang 25 gol musim depan selepas menyumbat 20 gol pada Liga Super tahun ini dengan meninggalkan pencabar terdekat Norshahrul Idlan Talaha dari Kelantan dengan satu gol.

Beliau berkata namun untuk merealisasikan impian itu bukannya satu perkara yang mudah bagaimanapun dengan bantuan rakan sepasukan ia tidak mustahil.

"Untuk mempertahankan memang sesuatu yang sukar tambahan lagi dengan kehadiran pemain import yang akan memberikan cabaran namun saya akan cuba membuat yang terbaik," katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad. Selain itu bekas pemenang Kasut Emas itu juga berjaya membantu Terengganu muncul naib juara liga tahun ini di belakang pasukan Kelantan.

Skuad Penyu itu juga muncul juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia 2011.

Abdul Hadi, yang berasal dari Klang, Selangor, itu berikrar akan memberikan fokus sepenuhnya dan beraksi sehebat gelaran yang diberikan dalam mengharungi saingan liga musim depan walaupun di sebalik kehadiran pemain import.

"Ini adalah peluang untuk saya menebus kekecewaan setelah gagal menjaringkan gol sepanjang kempen Piala Malaysia lalu dan ini adalah peluang terbaik saya," katanya.

Katanya dengan dengan gandingan serta pilihan tepat yang dilakukan oleh jurulatih (Mat Zan Mat Aris) sedikit sebanyak dapat membantu untuk menggapai misi itu.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata kekalahan di tangan Negeri Sembilan pada pentas akhir Piala Malaysia 2011, 29 Okt lalu cukup memberi kesan dan pengajaran kepadanya serta ahli pasukan yang lain. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan