Kelantan Temu Persebaya FC Rebut Piala Permai - Bola Sepak | mStar

Kelantan Temu Persebaya FC Rebut Piala Permai

Diterbitkan: Jumaat, 9 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Juara Liga Super musim ini, Kelantan akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang kelab Liga Prima Indonesia, Persebaya FC, bagi merebut trofi Yayasan Persahabatan Malaysia-Indonesia (PERMAI) di Kota Baharu, Kelantan, pada 23 Disember ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) merangkap Setiausaha Agung PERMAI Tan Sri Annuar Musa berkata perlawanan itu, yang diadakan secara timbal balik, akan diadakan di Surabaya, Indonesia pada 28 Dis depan.

"Berikutan itu, perlawanan (persahabatan) antara The Red Warriors (Kelantan) menentang Kuala Lumpur akan diubah kepada 25 Dis," katanya dalam laman sosial Facebooknya hari ini.

Perlawanan itu merupakan persediaan awal skuad 'Kijang' untuk menghadapi saingan Liga Super musim depan termasuk perlawanan merebut Piala Sumbangsih menentang juara Piala Malaysia Negeri Sembilan di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV pada 7 Jan depan.

Annuar berkata perlawanan itu merupakan anjuran bersama Liga Prima Indonesia dan Malaysia Super League (MSL) serta dipersetujui oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Beliau berkata perlawanan itu akan disiarkan stesen televisyen di Indonesia manakala PERMAI akan berunding dengan stesen televisyen berbayar, Astro untuk disiarkan di Malaysia.-BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan