Perjuangan Harimau Muda Bermula Petang Ini

Diterbitkan: Isnin, 7 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SKUAD bola sepak bawah 23 tahun negara akan memulakan perjuangan di Sukan Sea Ke-26 di Indonesia pada Isnin dengan menentang pasukan negara jiran, Singapura.

Perlawanan antara Malaysia dengan Singapura dalam aksi pembuka tirai Kumpulan A dijadualkan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pukul 5 petang ini.

Meskipun hanya tinggal beberapa jam sahaja perlawanan akan bermula, pemain yang bakal membarisi kesebelasan utama skuad Harimau Muda masih menjadi teka-teki.

Memetik laporan akhbar tempatan, Jurulatih Ong Kim Swee memberitahu, beliau telah mempunyai bayangan pemain yang bakal beraksi, tetapi masih belum membuat kata putus.

Tambahnya, senarai akhir barisan pemain hanya akan diumumkan sejam sebelum permainan bermula.

Bagaimanapun, jurulatih yang juga pengendali skuad bawah 23 tahun itu dijangkakan akan mengekalkan formasi 4-4-2 dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dijangkakan bakal menjadi benteng terakhir pasukan negara.

Perlawanan ini juga menjadi medan terbaik untuk pasukan negara mengubati kekecewaa selepas tewas kepada Singapura dalam Kelayakan Piala Dunia 2014 lalu.

Berikut adalah jadual perlawanan yang akan berlangsung pada Isnin.

KUMPULAN A

Malaysia menentang Singapura.

Indonesia menentang Kemboja

KUMPULAN B

Timor Leste menentang Filipina

Laos menentang Brunei.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan