Piala M'sia: Perlawanan Akhir Diramal Dalam Hujan

Diterbitkan: Sabtu, 29 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Perlawanan akhir Piala Malaysia 2011 antara Negeri Sembilan dan Terengganu di Stadium Shah Alam diramalkan berlangsung dalam keadaan padang yang basah.

Jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia ketika dihubungi Bernama hari ini berkata cuaca di sekitar Shah Alam esok diramalkan baik pada sebelah pagi, namun hujan lebat beserta ribut petir berlaku pada sebelah petang.

"Hujan dan ribut petir itu diramal bermula pada lewat petang, dan dijangka reda sekitar pukul 7 malam," katanya sambil menambah cuaca tidak menentu itu diramalkan berlanjutan sehingga minggu depan.

Namun bagi Negeri Sembilan dan Terengganu, cuaca tidak menentu bukanlah penghalang untuk mereka berentap bagi bergelar juara musim ini.

Jurulatih bola sepak Negeri Sembilan Mohd Azraai Khor Abdullah berkata pasukan 'Hoben Jang Hoben' bertekad membawa pulang piala berprestij itu tanpa mengira halangan cuaca, setelah kali terakhir menjulangnya pada 2009.

"Pemain saya sudah sedia dalam semua keadaan cuaca, dan mereka juga telah bersedia dan fokus dari segi persiapan mental dan fizikal.

"Kami telah melakukan persiapan yang rapi selama seminggu dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Yang penting bagi kami adalah membawa balik Piala Malaysia dan itulah menjadi keutamaan kami" katanya kepada pemberita selepas tamat mesyuarat pengurus pasukan yang berlangsung di Stadium Shah Alam pada Jumaat.

Mohd Azraai berkata misi membawa pulang Piala Malaysia merupakan impian hadiah hari jadinya yang ke-59 kerana ia bakal mencatat pengalaman cukup bermakna dalam kerjaya beliau sebagai jurulatih.

"Saya yakin kami mampu tamatkan permainan dalam masa 90 minit, namun jika terpaksa beraksi lebih masa, ia bukan satu penghalang bagi skuad Rusa," katanya.

Beliau berkata kebanyakan pemain Negeri Sembilan dibarisi mereka yang berpengalaman, dan keupayaan pasukannya terbukti apabila mempamerkan aksi yang baik pada perlawanan sebelum ini.

Bagi pengurus Negeri Sembilan Abdul Halim Abdul Latif, beliau bersyukur kerana skuad itu berjaya melangkah kaki ke pentas akhir Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut sejak 2009.

"Saya harap pemain kita dapat bermain dengan lebih fokus dan tenang apabila beraksi esok," katanya.

Sementara itu, pengurus Terengganu Datuk Che Mat Jusoh berkata skuad Penyu bersedia menghadapi perlawanan esok dan berjanji memberikan persembahan terbaik kepada peminat.

"Saya yakin bahawa penantian 10 tahun skuad Penyu untuk membawa balik Piala Malaysia akan berakhir dan berharap penyokong memberi kerjasama yang baik dengan menjaga dispilin," katanya dalam nada optimis sambil mengakui skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu membuat persiapan rapi sebelum bertemu Skuad Rusa.

Kapten skuad Penyu Mohd Marzuki Yusof berkata beliau dan rakan sepasukan berjanji memberikan yang terbaik malam esok.

"Kita akan bermain dengan lebih fokus esok berbanding perlawanan sebelum ini dan akan sentiasa berjaga-jaga untuk mengurangkan kesilapan bila beraksi nanti," katanya.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan