Cardiff City Tandatangani MoU Dengan Felda Cardiff

Diterbitkan: Selasa, 18 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

CARDIFF: Cardiff City telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Felda bagi membawa pembangunan komuniti melalui bola sepak di kalangan keluarganya.

Antara bidang utama yang diberi perhatian adalah bagi membangunkan satu kurikulum berasaskan sukan bagi pelajar sekolah menengah tinggi, kemahiran bahasa Inggeris dan kejurulatihan dan pendidikan akar umbi.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab dan Pengerusi Cardiff City Datuk Chan Tien Ghee di stadium kelab di sini, Isnin.

Projek perintis antara dua pertubuhan itu telah dimulakan pada 19 September di Felda Jengka di Pahang dengan penyertaan sekitar 70 pelajar.

Ketua Bahagian Pendidikan kelab itu Steven Ellis berkata sukatan pelajaran yang berdasarkan Majlis Pendidikan Perniagaan dan Teknologi (BTEC) United Kingdom adalah sama dengan kelulusan SPM-V dan akan bermula September tahun depan.

Dua jurulatih termasuk bekas pemain Kevin Cooper dan Matthew Holland telahpun berada di Malaysia untuk menunjuk ajar sejak Julai.

"Perkembangan ini merupakan satu tambahan kepada apa yang menjadi matlamat Cardiff City untuk memberi sumbangan kepada Malaysia dalam soal pembangunan komuniti," kata Chan selepas majlis itu.

Menurut Chan, pendekatan Cardiff City mengenai pembangunan belia adalah berdasarkan kepada perbezaan pengendalian dan juga penekanan ketara terhadap pendidikan dan juga dalam sukan.

Dzulkifli berkata, Felda merancang untuk memperkenalkan program itu di kesemua 317 skim di seluruh negara yang terdiri daripada 300,000 kanak-kanak.

"Perkembangan ini akan memberikan peluang kepada anak-anak kita untuk menceburi sukan sebagai satu karier melalui rangka kerja pendidikan yang telah terbukti seperti BTEC dan menggunakan bola sepak untuk memperkaya keluarga kita," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan