Harga Tiket Perlawanan Terengganu Bertemu Kelantan Dinaikkan - Bola Sepak | mStar

Harga Tiket Perlawanan Terengganu Bertemu Kelantan Dinaikkan

Diterbitkan: Khamis, 6 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan menaikkan harga tiket bagi perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia antara Terengganu menentang Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah di sini Isnin ini.

Setiausaha PBSNT, Abdullah Salleh berkata harganya ialah RM15 untuk tempat duduk terbuka dan RM25 untuk tempat duduk berbumbung berbanding masing-masing RM10 dan RM20 sebelum ini.

Harga tiket bagi tahun depan akan dibincangkan kemudian, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tiket bagi perlawanan separuh akhir juga akan dinaikkan, sekiranya Terengganu layak.

"Kenaikan harga itu diambil pada mesyurat eksekutif PBSNT semalam. PBSNT berpendapat kenaikan harga itu tidak membebankan peminat kerana inilah pertama kali PBSNT menaikkan harga tiket. "Lagipun negeri-negeri lain telah menaikkan harga tiket masing-masing, kecuali Terengganu yang masih mengekalkan harga RM10 dan RM20," katanya.

Abdullah berkata mesyuarat itu juga mengambil keputusan akan mula menjual tiket perlawanan Isnin ini pada pagi Ahad di semua pintu masuk stadium bagi mengelak kesesakan.

Katanya 10 peratus tiket akan disediakan kepada peminat Kelantan.

Beliau berkata satu lagi mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bagi membicangkan langkah-langkah keselamatan semasa perlawanan itu.

"Kita minta sungguh-sungguh supaya peminat mematuhi arahan dan tidak membawa masuk sebarang objek ke dalam stadium bagi mengelak persatuan dihukum.

"Yang penting kita mahu lihat satu perlawanan yang berkualiti dan hebat daripada kedua-dua pasukan," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan