Hajat Pilihan S'gor Tak Kesampaian

Diterbitkan: Ahad, 2 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Harapan pasukan Pilihan Selangor untuk merampas kembali Piala Sultan Selangor tidak kesampaian apabila kalah tipis 0-1 kepada Pilihan Singapura di Stadium Shah Alam di sini malam Sabtu.

Selangor di bawah jurulatih P. Maniam terpaksa berputih mata apabila pemain pertahanan Mohamed Asraruddin Putra Omar menanduk masuk gol sendiri pada minit ke-66, hasil hantaran pemain gantian Singapura Shahdan Sulaiman dari sebelah kiri pintu gol.

Singapura, yang menang 3-0 pada 2009 dan 6-0 tahun lepas, memulakan perlawanan secara agresif dengan melancarkan serangan ke kubu skuad 'Red Giants'.

Bagaimanapun, Selangor berjaya mengimbangi gerakan pantas skuad 'The Lions" menerusi serangan balas yang diketuai oleh penyerang negara, Safee Sali.

Selepas masa rehat, Selangor terus melancarkan serangan menerusi gandingan Safee dan Jesper Blomqvist namun kekebalan benteng Singapura yang diketuai oleh Daniel Bennett mengagalkan usaha Selangor untuk mencari gol pendahuluan.

Skuad 'The Lions' terpaksa menukar penjaga golnya, Lionel Lewis dan digantikan dengan Mohamad Izwan Mahbud pada minit ke-60 selepas beliau mengalami kecederaan akibat pertembungan dengan Safee.

Mereka kemudian membuat pertukaran kedua dengan mengeluarkan kapten pasukan, Mohammad Shahril Ishak dan memasukkan Shahdan yang berjaya melakukan hantaran ke pintu gol Selangor sehingga membuahkan hasil kepada pasukan pelawat itu.

Tersentak dengan gol tersebut, Selangor membuat dua pertukaran serentak dengan mengeluarkan Safee dan Jason McAteer serta memasukkan Muhamad Nazri Ahmad dan Mohd Fitri Shazwan Raduan pada minit ke-70 bagi menguatkan jentera serangan.

Selangor hampir menyamakan kedudukan menerusi Mohd Amri Yahyah pada minit ke-81 namun jaringannya dibatalkan oleh pengadil Vietnam Thong Dinc Tuch kerana menggunakan tangan.

Terdahulu itu, pasukan Veteran Selangor yang diketuai oleh Datuk Soh Chin Aun mengalahkan Veteran Singapura 3-1.

Pada edisi tahun lepas, skuad veteran Selangor menewaskan veteran Singapura, 1-0 hasil jaringan Shahrin Majid.

Gol-gol Veteran Selangor pada perlawanan tersebut dijaringkan oleh P. Maniam pada minit ketujuh dan Dollah Salleh (min ke-12 dan min-40) manakala gol Veteran Singapura dijaringkan oleh bekas pemain kebangsaannya, Abdullah Noor pada minit ke-16.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk berangkat menyaksikan perlawanan dan menyampaikan piala serta wang tunai kepada pemenang.

Selaku juara, Pilihan Singapura membawa pulang wang tunai RM50,000 dan Piala Sultan Selangor manakala Pilihan Selangor meraih RM10,000 sebagai naib juara.

Barisan Pemain:

Pilihan Selangor: G. Jeevanantaham, Mohd Razman Roslan (D. Surendren), Mohd Asraruddin Putra Omar, P. Gunalan, Mohd Bunyamin Umar, Safiq Rahim, Mohd Amri Yahyah (Rudie Ramli), Mohd AmirulHadi Zainal (Azidan Sarudin), Safee Sali (Muhamad Nazri Ahmad), Jesper Blomqvist, Jason McAteer (Mohd Fitri Shazwan Raduan).

Pilihan Singapura: Lionel Lewis (Mohamad Izwan Mahbud) , Muhammad Safuwan Baharudin, Juma'at Jantan, Daniel Mark Bennett, Mohamad Shaiful Esah Nain, Noh Rahman, Shi Jiayi, Mohammad Shahril Ishak (Shahdan Sulaiman), Mohamed Hafiz Rahim, Fazrul Nawaz, Aleksandar Duric. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan