Carlos Tevez Akhirnya Digantung 2 Minggu

Diterbitkan: Khamis, 29 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PEMAIN kontroversi Manchester City, Carlos Tevez (gambar) telah digantung selama dua minggu oleh kelab berkenaan selepas Pengurus Roberto Mancini menjelaskan kepada pengerusi kelab bola sepak itu, Khaldoon al-Mubarak mengenai keengganan pemain itu bermain sebagai pemain gantian dalam perlawanan Liga Juara-juara menentang Bayern Munich, malam Selasa.

Mancini khabarnya dengan berang menyuruh Tevez pulang ke Argentina ketika mereka bersemuka di dalam bilik persalinan selepas kecundang 2-0 dalam perlawanan itu.

Keputusan pengurus itu untuk tidak lagi akan memilih Tevez bermain turut mendapat sokongan daripada pemilik kelab itu yang berpangkalan di Abu Dhabi.

“Manchester City mengesahkan bahawa penyerang Carlos Tevez telah digantung untuk tempoh maksimum dua minggu sehingga diberitahu kelak.

“Penggantungan pemain itu ekoran tindak tanduknya pada perlawanan menentang Bayern Munich, malam Selasa lalu.

“Tevez tidak akan dipertimbangkan dalam senarai pemain atau mengikuti sesi latihan sementara kajian semula terhadap kes itu dijalankan,” kata kenyataan rasmi kelab itu.

Kelab berkenaan mahu menggantung Tevez untuk tempoh yang lebih lama tetapi dihalang oleh garis panduan Liga Perdana.

Peguam kelab itu kini sedang meneliti kontrak Tevez bagi menentukan tindakan susulan yang boleh diambil terhadapnya, sama ada dia bersalah kerana enggan bermain sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua dalam perlawanan di Allianz Arena itu.

Tevez yang berdepan dengan kemelut besar ini bagaimanapun menyangkal keengganannya untuk bermain itu berpunca daripada salah faham gara-gara isu bahasa. Tevez mungkin dikehendaki untuk menghadiri sebutan kes itu dan berkemungkinan akan dipotong gajinya untuk selama dua minggu tempoh penggantungannya.

Sebagai pemain yang menerima gaji tertinggi di kelab itu dan Liga Perdana, Tevez mungkin akan didenda sehingga £500,000, sekaligus menjadikan ia denda tertinggi yang pernah dikenakan dalam sejarah bola sepak Inggeris.

Terdahulu, Tevez menerusi penasihat-penasihatnya, telah mengeluarkan kenyataan maaf kepada peminat kelab itu tetapi menafikan keengganannya untuk bermain dalam perlawanan tersebut dengan menyalahkan bahawa telah berlaku kekeliruan di bangku simpanan.

Ironinya, kenyataan tersebut bercanggah dengan kenyataan awalnya dalam satu temuramah dengan sebuah stesen televisyen sejurus selepas perlawanan berkenaan apabila beliau mengakui menentang keputusan pengurus pasukan itu untuk menurunkannya dengan alasan tidak bersedia secara mental dan fizikal untuk bermain.

Kenyataan Tevez yang disifatkan sebagai berdolak-dalik itu sekaligus membuktikan kesahihan bukti yang memihak kepada Mancini.

City dilaporkan telah mengumpulkan semua bukti salah laku pemain itu sebelum ini dan membiarkan segala kemungkinan terbuka sebelum memutuskan untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Pilihan terbaik buat City adalah dengan menamatkan kontrak pemain itu dan memfailkan tindakan undang-undang ke atasnya.

Sumber-sumber dari peringkat atasan Liga Perdana percaya bahawa Tevez boleh dipecat dan Timbalan Presiden Fifa, Jim Boyce berkata Fifa akan menjalankan siasatan berhubung kemungkinan untuk mengharamkan pemain itu daripada bermain di mana-mana kelab di serata dunia.

“Jika dia (Tevez) telah melakukan apa yang diperkatakan itu, nampaknya tanpa ragu kelab itu boleh memecatnya.

“Jika Manchester City dapat membuktikan (keengganan Tevez bermain) dan menjelaskan situasi tersebut secara bertulis kepada Fifa, saya percaya Fifa mempunyai kuasa sebagaimana yang mereka laksanakan pada kes berkaitan penyalahgunaan dadah di kalangan pemain dan beberapa kes lain, untuk mengharamkan pemain itu daripada terus bermain secara aktif.

“Saya tidak mempunyai sebarang masalah terhadap hukuman itu. Ia tidak pernah berlaku sebelum ini tetapi saya berpendapat tindakan (enggan bermain) itu sebagai sesuatu yang keji,” kata Boyce.

Mancini menghabiskan tempoh yang lama untuk berbincang mengenai kes tersebut dengan Mubarak dan meminta agar hukuman penggantungan itu dilaksanakan.

Ia secara tidak langsung akan melarang Tevez daripada berada di dalam kawasan stadium atau padang latihan.

Pemain itu dilaporkan bercuti sehari dan melaporkan diri semula pada Khamis tetapi Mancini menegaskan yang beliau tidak akan menerima kehadiran Tevez dalam sesi latihan pasukan utama kelab itu.

Kemungkinan terbesar yang bakal berlaku adalah Tevez akan dijual secara percuma menjelang sesi perpindahan pada Januari depan.

Sehingga itu, Mancini akan berusaha untuk memulaukan pemain itu dan menangguhkan kariernya susulan kontroversi tersebut.

Susulan itu, bekas pemain West Ham United dan Manchester United itu kini berdepan dengan cemuhan secara terbuka oleh para penyokong dua kelab berkenaan.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan