Tevez Enggan Bermain Untuk City

Diterbitkan: Rabu, 28 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ROBERTO Mancini mendakwa penyerang Carlos Tevez enggan untuk bermain sebagai pemain gantian Manchester City dalam kekalahan 2-0 terhadap Bayern Munich pada perlawanan Liga Juara-juara Eropah pada pagi Rabu (waktu tempatan).

Mancini berkata: “Dia enggan untuk bermain. Saya tidak tahu mengapa. Saya tidak gembira dengan situasi yang berlaku. Adakah perkara seumpama ini berlaku di Bayern Munich, AC Milan atau Manchester United? Saya adalah pengurus di sini. Saya menentukan segala-galanya.

“Saya telah banyak membantunya sepanjang tempoh dua tahun, walaupun dia mahu meninggalkan kelab tetapi saya masih menyenaraikannya dalam barisan pemain. Apa yang berlaku dalam perlawanan malam ini (pagi Rabu), perlawanan masih berbaki 30 minit untuk kami mengubah keadaan.

“Carlos tidak bermain pada awal musim kerana dia tidak bersedia. Adalah salah bagi seorang pemain apabila enggan diturunkan dalam perlawanan penting seperti ini.”

Apabila ditanya adakah dia mempunyai penjelasan mengenai sikap Tevez, Mancini berkata: “Ianya (sikap) adalah mustahil. Saya meminta dia bermain dan membantu pasukan. Mungkin dia kecewa kerana tidak dapat bermain dari awal musim ini lagi.

Beliau turut mencadangkan Tevez, yang meninggalkan Manchester United untuk City pada 2009, tidak akan bermain langsung untuk kelab itu lagi. Katanya: “Jika saya ada jalan untuk menyelesaikannya, dia akan meninggalkan kelab ini.”

Apabila didesak adakah karier Tevez sudah berakhir di City, Mancini berkata: “Saya tidak boleh membuat keputusan itu. Tapi jika saya boleh, sudah pasti ia (karier) berakhir. Saya sudah membantunya selama dua tahun di sini dan sikapnya itu tidak boleh diterima.”

Dalam temuramah bersama Sky Sports News, Tevez berkata: “Saya bersikap cukup profesional sepanjang berkhidmat di sini. Saya merupakan penjaring terbanyak pada musim lalu dan saya mahu meninggalkan kelab ini atas sebab yang melibatkan keluarga tetapi saya mencuba sebaik yang mungkin.”

Suasana tegang City itu bagaimanapun bertentangan dengan Bayern Munich yang mengungguli kumpulan A dengan enam mata selepas dua perlawanan, hasil jaringan berganda Mario Gomez.

Gomez berkata: “Manchester bermula dengan baik di awal perlawanan. Kami akui sedikit gementar dan keadaan itu sukar untuk dijelaskan kerana pada hakikatnya kami berada tahap permainan yang baik.

“Kami mula bermain dengan baik selepas 30 minit dan berhak memperoleh kemenangan ini. Saya tidak bermain dengan cemerlang tetapi bernasib baik apabila dapat menjaringkan dua gol.” - ESPN

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan