Safee Sali Masih Ingin Intai Peluang Dengan Kelab Elit Lain

Diterbitkan: Rabu, 28 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Penyerang sensasi negara, Safee Sali berminat untuk mencuba kebolehannya dengan kelab elit lain sekiranya pasukan kelab Cardiff City tidak memilihnya beraksi bersama pasukan 'Bluebirds' itu.

Bagaimanapun, di sebalik tiada keputusan rasmi sama ada Safee terpilih menyarung jersi Cardiff City atau tidak, masih ada khabar gembira mengiringi kepulangannya ke tanah air, apabila pengurus pasukan kelab Liga Kejuaraan Inggeris itu Malky Mackay memintanya kembali untuk penilaian lanjut selama dua minggu lagi.

"Bagi saya peluang latihan 10 hari di sana tidak mencukupi kerana saya tidak berpuas hati dengan kemampuan diri sendiri. Saya sememangnya berharap dapat bermain dalam perlawanan persahabatan di sana bagi membuktikan aksi sebenar.

"Saya harapkan ada talian positif dari pihak pengurusan Cardiff dan saya sememangnya amat berminat untuk bermain di sana," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari menjalani latihan percubaan 10 hari bersama pasukan itu, Rabu.

Pemain kelab Pelita Jaya di Indonesia itu berkata beliau tiada masalah mengikuti latihan yang diberikan kelab Cardiff City yang dimiliki ahli perniagaan Malaysia Datuk Chan Tien Ghee tersebut.

"Walaupun saya di sana selama dua minggu, saya dapat lihat latihan yang mereka praktikkan berbeza dari segi kepantasan serta cara berfikir mereka juga lebih cepat.

"Dari segi latihan saya boleh ikuti dan cuaca pun tidak menjadi masalah," katanya.

Pemain berusia 27 tahun itu berkata sekiranya tidak dapat bermain di England, beliau sudah bersedia untuk menerima tawaran latihan dari kelab elit lain.

"Saya harap bukan saya sahaja pergi mencuba di luar sana...kalau pemain lain diberi peluang tawaran, mereka patutlah mencuba," katanya.

Dalam perkembangan lain, Safee berkata perlawanan persahabatan antarabangsa skuad kebangsaan kendalian Datuk K. Rajagobal menentang Australia pada 7 Okt di Brisbane ini akan memberikannya 'sengat' bergandingan dengan Norshahrul Idlan Talaha di barisan hadapan.

"Saya lihat Norshahrul sudah pulih dan prestasinya dalam Piala Malaysia mewakili Kelantan pun dilihat bagus. Ini merupakan satu khabar yang baik untuk skuad kebangsaan," katanya.

Selepas perlawanan persabatan itu, beliau dijadualkan pulang ke Indonesia mewakili Pelita Jaya bagi mengharungi saingan Liga Super Indonesia yang bermula 9 Okt ini. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan