T'Team Anggap Persaingan Masih Terbuka Ke Suku Akhir

Diterbitkan: Isnin, 12 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Walaupun persaingan tempat ke suku akhir Piala Malaysia masih terbuka, namun pasukan T'Team perlu menang ke atas pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Kumpulan D, di sini, malam Selasa.

Jurulatihnya Yunus Alif berkata ini kerana T'Team tidak mahu kecundang sama seperti ketika bertemu pasukan Kuala Lumpur Sabtu lepas disebabkan kesilapan yang tidak seharusnya berlaku.

"Kita perlu menang dengan PDRM Selasa malam dan kesilapan yang lalu perlu dijadikan iktibar sekiranya T'Team tidak mahu gulung tikar lebih awal dalam kempen Piala Malaysia ini," katanya, Isnin.

Yunus berkata pertemuan dengan PDRM merupakan perlawanan terakhir pusingan pertama kumpulan D di mana pasukan itu kini menduduki tempat ketiga dengan memperoleh tiga mata setelah menang satu perlawanan dan kalah sekali.

Bagi memperkemaskan pasukan, Yunus berkata Tengku Hasbullah Tengku Hassan yang baru pulih dari kecederaan akan diturunkan malam esok untuk digandingkan dengan bekas pemain kebangsaan Indra Putera Mahyudin di barisan tengah.

Yunus berkata T'Team tidak boleh memandang rendah keupayaan pasukan PDRM walaupun ia merupakan pendatang baru kerana mereka juga mempunyai azam yang tinggi dalam kempen kali ini.

Beliau berkata T'Team akan menurunkan kesebelasan utama bagi memastikan mereka memungut mata penuh dan sekaligus melebarkan peluangnya melangkah ke pusingan suku akhir.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan