Warnock Yakin QPR Akan Buka Peluang Latihan Kepada Pemain M'sia

Diterbitkan: Rabu, 7 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PENGURUS Queens Park Rangers (QPR) Neil Warnock yakin kelab bimbingannya akan mendapat lebih banyak perhatian daripada Malaysia memandangkan kini ia telah dimiliki oleh Tan Sri Tony Fernandes, seorang rakyat negara ini.

Dan berdasarkan hubungan yang istimewa ini, beliau turut yakin peluang untuk pemain-pemain Malaysia mendapat pendedahan latihan bersama QPR akan terbuka lebih luas.

Dalam persidangan media secara online dengan wartawan-wartawan Asia termasuk Malaysia petang Rabu, Warnock mengakui, Malaysia mempunyai ramai pemain yang berbakat seperti Safee Sali yang menjadi salah seorang ayam tambatan skuad Malaysia.

“Peluang ini hadir kerana hubungan dengan pengerusi kelab yang sememangnya mempunyai semangat luar biasa dalam sukan bola sepak.

"Malah tidak boleh dipertikai lagi bahawa Malaysia mempunyai pemain berbakat seperti Safee yang dianggap sebagai ‘David Beckam Malaysia’. Saya rasa semua orang tahu.

“Namun masalah permit kerja untuk membawa pemain Malaysia ke Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah satu halangan buat kami.

"Bagaimana pun itu tidak menjadi alasan untuk kami saling membantu dengan skuad Malaysia kerana jurulatihnya, Datuk K. Rajagobal telah melaksanakan tugasnya dengan baik. Bukan sahaja di Malaysia malah (namanya juga dikenali) di dunia,” kata Warnock.

Peraturan di United Kingdom mengariskan, pemain bukan negara Kesatuan Eropah (EU) seperti Malaysia misalnya hanya akan dipertimbangkan untuk diberikan permit kerja sekiranya kita berada dalam ranking ke-70 FIFA dan ke bawah. Buat masa ini skuad negara berada di rangking ke-143 dunia (sehingga April lalu).

Ini menjadi halangan untuk pemain-pemain Malaysia beraksi dalam liga Inggeris walaupun kelab bolasepak seperti QPR dan Cardiff City kini dimiliki oleh rakyat Malaysia.

Sementara itu, Warnock yakin QPR mempunyai peminatnya sendiri di Malaysia seperti mana kelab-kelab terkenal lain yang menjadi perhatian.

“Sokongan dari Malaysia kepada QPR amat penting untuk masa depan kelab. Saya yakin hubungan QPR dan Malaysia akan berterusan dan saya positif pelbagai program akan dilaksanakan di Malaysia dan kemungkinan akan menubuhkan akademi bola sepak seperti mana kelab-kelab besar lain yang telah menubuhkan akademi di Malaysia ataupun di negara Asia yang lain,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan QPR dalam mengharungi perlawanan EPLnya yang keempat musim ini menentang Newcastle Isnin depan, pengurus itu menjawab;

“Secara keseluruhannya saya ingin membawa kelab pada kedudukan terbaik musim ini dan berharap pemain-pemain saya telah bersedia untuk berhadapan dengan cabaran seterusnya,” kata.

Pada perlawanan sebelum ini, QPR hanya mampu meraih satu kemenangan iaitu ke atas Everton (1-0) tetapi kalah 0-2 kepada Wigan dan Bolton (0-4)

Kini pasukan yang kali pertama mara ke EPL selepas 15 tahun bertarung di liga bahagian dua, berada di tangga yang ke-12 dengan tiga mata.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan